WILAYAH - SARAWAK > BERITA

29 Rumah Rosak Akibat Ribut Di Perlis

18/09/2024 02:58 PM

ARAU, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 29 rumah rosak dalam kejadian ribut di sekitar Perlis yang direkodkan dari Ahad lepas hingga 10 pagi tadi, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Ku Chik Ku Mat Esa.

Beliau berkata rumah yang terjejas antaranya di Kampung Tebing Tinggi, Kota Kayang, Kampung Syed Omar, Kampung Peladang, Kuala Sanglang dan Kampung Guar Musang.

"Kami (JKM Perlis) telah membuat penilaian kerosakan ke 23 rumah bagi tujuan pembaikan untuk meringankan beban penduduk terlibat, dan daripada penilaian kita ada rumah yang mengalami kerosakan teruk seperti bumbung tercabut.

"Pihak kami sedang dalam gerak kerja ke enam rumah lagi untuk membuat penilaian kerosakan hari ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Arau di sini.

Ku Chik berkata JKM menyediakan bantuan maksimum RM5,000 untuk membaiki rumah rosak akibat ribut manakala kerosakan besar yang melibatkan jumlah melebihi RM5,000 akan diuruskan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Beliau berkata kejadian ribut di Perlis mula berlaku kira-kira 5 petang pada Sabtu lepas.

"Mangsa ribut yang rumah mereka mengalami kerosakan diminta membuat laporan polis untuk melengkapkan dokumentasi bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan berkenaan," katanya.

Sementara itu, mengenai kejadian banjir di Perlis, Ku Chik berkata pihaknya telah memberikan bantuan segera kit bencana yang mengandungi barangan penjagaan diri serta tilam toto, selimut, tikar dan bantal serta makanan.

Sebanyak 41 mangsa banjir daripada 13 keluarga di Perlis ditempatkan di dua PPS iaitu SK Arau dan SK Sena, Kangar yang masing-masing dibuka pada 11.55 malam dan 10.50 malam tadi.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan