WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Tajikistan Perkukuh Hubungan Dua Hala - Ahmad Zahid

18/09/2024 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Tajikistan akan terus memperkukuh hubungan dua hala terutama dalam sektor ekonomi, pendidikan serta kebudayaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dibincang ketika beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Tajikistan ke Malaysia Ardasher Saeedjaafar Qodiri hari ini.

“Selesai Mesyuarat Jemaah Menteri, saya menerima kunjungan hormat daripada Ardasher Saeedjaafar Qodiri, Duta Besar Tajikistan ke Malaysia.

“Dalam pertemuan ini, kami membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Tajikistan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan,” katanya menerusi laman X.

Beliau berkata memandangkan Malaysia dan Tajikistan berkongsi banyak nilai bersama, kerjasama lebih erat akan membuka peluang baharu bagi kedua-dua negara.

Tajikistan, sebuah negara bekas Republik Soviet, mempunyai populasi kira-kira 10 juta orang dan bersempadan dengan Afghanistan di selatan, China di timur, Kyrgyzstan di utara serta Uzbekistan di barat.

Kuala Lumpur dan Dushanbe telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 11 Mac 1992.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan