WILAYAH - UTARA > BERITA

Peniaga Restoran Dibadai Ombak Besar Rugi Hingga RM200,000

18/09/2024 06:18 PM

BUTTERWORTH, 18 Sept (Bernama) -- Pemilik restoran makanan laut di kawasan Pantai Bersih di sini mengalami kerugian RM50,000 hingga RM200,000 susulan premis perniagaan mereka dibadai ombak besar dan air pasang sejak semalam.

Mereka juga terpaksa menutup restoran dalam tempoh masa panjang berikutan perlu membaiki kerosakan teruk pada keseluruhan premis.

Pemilik restoran, Low Kok Seng, 59, berkata beliau baru membuka perniagaan pada 11 pagi semalam ketika kejadian itu berlaku dan sekitar 12 tengah hari beliau melarang pelanggan makan di luar restoran iaitu kawasan tepi pantai berikutan ombak semakin besar dan air laut semakin tinggi.

"Ombak besar itu berlaku secara tiba-tiba dan nasib baik ketika itu pelanggan berada di bahagian dalam restoran, air laut pasang dan ombak besar membadai bahagian kedai yang berada di tepi pantai dan dalam beberapa minit, semua kerusi meja di situ hilang.

"Ombak besar itu turut menghanyutkan bertan-tan pasir yang saya gunakan sebagai asas untuk lantai simen sehingga menyebabkan lantai retak dan runtuh. Lihat sahaja kerosakannya dan saya tidak tahu dari mana hendak bermula, ia akan mengambil masa sebelum pembaikan sepenuhnya dapat dijalankan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di restorannya hari ini.

Keadaan restoran Low viral menerusi klip video yang menunjukkan lantai simen retak selepas berulang kali dihempas ombak setinggi hingga 3.5 meter.

Beliau yang menganggarkan kerugian RM150,000 hingga RM200,000 akibat kerosakan tersebut berkata insiden seumpama itu kali pertama berlaku sejak lapan tahun mula berniaga, selain kehilangan RM10,000 setiap hari restorannya tidak beroperasi.

Menurutnya restoran itu mempunyai 30 orang pekerja dan beroperasi dari 11 pagi hingga lewat malam serta sering menjadi tumpuan pelanggan ketika waktu petang dan malam berikutan suasana dan pemandangan yang cantik.

Sementara itu, seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 46, berkata semua meja dan kerusi di restorannya turut dibawa ombak besar dalam kejadian semalam malah air laut turut masuk ke bahagian dapur yang terletak kira-kira 100 meter dari tepi pantai.

Beliau berkata lantai restoran rosak dan keadaan dalam kedainya hari ini dipenuhi sampah sarap yang dibawa air laut.

"Saya mungkin rugi sekitar RM50,000 akibat kejadian ombak besar itu dan kali terakhir ombak besar seperti itu melanda lebih dua dekad lalu, ini kelihatan lebih teruk daripada ‘mini tsunami’," katanya.

Seorang lagi peniaga, Chiou Ah Chong, 61, yang telah beroperasi di situ lebih 20 tahun berkata kerosakan di restorannya yang boleh menempatkan 60 meja itu sangat teruk dan lebih RM100,000 diperlukan untuk pembaikan.

Beliau langsung tidak menyangka akan berlaku kerosakan seperti itu kerana telah banyak melakukan banyak kerja menaik taraf bagi memastikan restoran berada dalam keadaan kukuh.

"Kami bermula dengan kedai kecil dan setiap kali kami menambah keluasan restoran, saya akan pastikan lantai diperkuat dengan konkrit kerana ombak sentiasa menghempas, malah saya juga telah membuat banyak naik taraf pada lantai serta dinding yang menghadap ke laut.

"Saya juga menambah satu lagi lapisan dinding untuk menghalang air laut daripada mengalir masuk, tetapi saya tidak sangka kekuatan ombak kali ini dapat memecahkan dua lapisan dinding dan memecahkan keseluruhan lantai di bawahnya," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati ombak besar terus membadai kawasan pesisir pantai termasuk restoran-restoran di Pantai Bersih malah berlaku ribut selama kira-kira 10 minit sekitar 2.30 petang tadi yang menyebabkan beberapa pokok tumbang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan