WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kelantan Giat Pantau Gerakan GISBH - Exco

18/09/2024 06:17 PM

KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Kerajaan Kelantan sedang giat memantau gerakan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) di negeri ini selain bersedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya perlu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Mat Daud berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan jenayah dan salah laku daripada masyarakat berkaitan gerakan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga sudah mengenal pasti beberapa maklumat berkaitan GISBH yang dipercayai mempunyai sebuah sekolah di Gong Kulim, Pasir Puteh, dua rumah amal di Kota Bharu dan Pasir Puteh, empat premis kedai makan iaitu dua di Kota Bharu dan masing-masing satu di Gua Musang dan Tumpat, dua hotel di Kota Bharu serta empat premis lain.

"GISBH ada bertapak di Kelantan, namun tidak banyak seperti sekolah, rumah amal, kedai makan, hotel dan sebagainya. Justeru, sehingga kini kita hanya memantau dan berada dalam mod sedia kerana kita tidak boleh melakukan serbuan tanpa sebarang aduan.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani gerakan ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Ops Global mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi, serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan