WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Dan Indonesia Baharui Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala

28/09/2024 12:03 PM

JAKARTA, 28 Sept (Bernama) -- Pembaharuan Perjanjian Swap Mata Wang Tempatan Dua Hala (LCBSA) antara Malaysia dan Indonesia membolehkan pertukaran mata wang tempatan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia (BI) bernilai hingga RM24 bilion atau IDR82 trilion untuk tempoh lima tahun.

Kedua-dua bank pusat itu telah memeterai pembaharuan LCBSA semalam, susulan perjanjian pertama yang dimeterai pada 2019 dan seterusnya diperbaharui pada 2022.

Menerusi kenyataan bersama, BNM dan BI menjelaskan LCBSA itu mencerminkan kerjasama perbankan pusat bagi memperkukuh daya tahan kedua-dua negara, dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata memandangkan hubungan perdagangan dan kewangan yang semakin erat antara Malaysia dengan Indonesia, pihak BNM berbesar hati untuk meneruskan kerjasama dengan BI melalui pembaharuan LCBSA.

Beliau berkata LCBSA itu menyokong Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) yang terus menjadi penggerak utama bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan dalam mata wang tempatan.

Gabenor BI Perry Warjiyo berkata pihaknya percaya penambahbaikan LCBSA dengan BNM mencerminkan kepentingan kerjasama antarabangsa.

Kerjasama itu sebagai sebahagian daripada gabungan dasar BI yang menyokong dasar utama dalam bidang monetari, kehematan makro serta sistem pembayaran, dan pada masa yang sama menyumbang kepada pembangunan mata wang tempatan dalam transaksi dua hala, katanya.

BNM dan BI mengadakan mesyuarat dua hala peringkat tinggi di sini pada Jumaat, 27 Sept.

Kedua-dua bank pusat telah bertukar-tukar maklumat dan pengalaman serta mengadakan perbincangan dasar yang menyeluruh merangkumi perkembangan makroekonomi, monetari dan kewangan, sistem pembayaran dan pendigitalan, serta strategi untuk memajukan kewangan Islam.

Libat urus yang erat itu mencerminkan kerjasama yang sekian lama antara kedua-dua bank pusat serta komitmen yang padu untuk terus mengukuhkan lagi kerjasama yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan