WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Guna Kestabilan Politik Untuk Laksana Dasar Untungkan Rakyat - PM

28/09/2024 06:21 PM

MIRI, 28 Sept (Bernama) -- Kestabilan politik yang dikecapi sejak dua tahun lepas di Malaysia tidak harus disalah guna oleh pemimpin politik bagi mengukuhkan kedudukan sebaliknya perlu dimanfaat sebagai ruang untuk melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kestabilan yang membawa kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit, pengangguran berkurangan dan inflasi lebih terkawal telah membolehkan kerajaan semasa menumpukan usaha membangunkan rakyat.

“Kadangkala masih ada orang politik yang sudah agak terdesak, yang agak lemas, dia tengok ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat dan inflasi lebih terkawal maka jalan keluar untuk mereka adalah menghasut supaya timbul kebencian antara kaum serta kegelisahan kerana perbedaan faham agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.

Anwar berkata persefahaman kaum di Sarawak yang menjadi asas kepada kestabilan politik di wilayah itu wajar dijadikan contoh untuk negeri lain bagi membolehkan mereka menumpukan kepada usaha pembangunan.

Dalam usaha kerajaan memastikan rakyat yang layak mendapat bantuan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Anwar turut mengumumkan pemberian secara langsung kepada penerima di Sabah dan Sarawak yang tidak mempunyai akaun bank.

Program itu dilancarkan semasa PMR 2024 di sini dan akan turut dilancarkan semasa lawatan Perdana Menteri ke Kapit esok.

“Ada tuai-tuai rumah bagitahu di rumah panjang, mereka tidak ada akaun bank maka itulah sebabnya di sini ada 500,000 penerima STR yang layak tetapi tidak mempunyai akaun bank,” katanya.

Beliau turut menghargai sokongan terhadap PMR 2024 yang bertujuan memberi maklumat kepada rakyat tentang perkhidmatan kerajaan secara terus selain mendapatkan maklum balas.

“Walaupun sasaran (pengunjung) untuk Program MADANI Rakyat Sarawakku Sayang ini 100,000 tetapi sehingga kini, sudah mencatat 70,000 orang. Ini menunjukkan bahawa sambutan rakyat kian hangat,” katanya.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pula berkata pengukuhan mata wang ringgit telah membuktikan keupayaan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar untuk menstabilkan keadaan politik negara.

Beliau berkata kestabilan itu perlu digunakan oleh kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan fokus Kerajaan Negeri Sarawak ketika ini adalah memperkukuh kekuatannya dalam sektor tenaga hijau serta pertanian.

“Kita dari Sarawak mencuba untuk menstabilkan Malaysia supaya keadaan aman dan makmur seterusnya dapatlah kita menumpukan kepada kerja kita untuk membangunkan seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Abang Johari juga berkata kestabilan politik yang dinikmati sejak dua tahun lepas susulan penubuhan Kerajaan Perpaduan mungkin bertambah baik dan mampu memperbaiki ekonomi negara.

“Ini melambangkan bahawa ekonomi kita sudah pulih dan perjalanan masih jauh, sebab itu saya dengan rakan-rakan menyambut baik hasrat mengadakan Program MADANI Rakyat ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan