WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Siasat Dakwaan Wujud Pusat Kuarantin GISBH Untuk Indoktrinasi, Penderaan - KPN

28/09/2024 09:38 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan yang dibuat melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) mengenai kewujudan pusat kuarantin GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di beberapa lokasi dalam dan luar negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan media hari ini berkata pusat kuarantin itu dipercayai digunakan untuk aktiviti indoktrinasi serta penderaan mental terhadap ahli GISBH yang bermasalah.

PUKAS dalam hantaran itu mendakwa kaedah kuarantin itu dipercayai berasal daripada amalan lama yang diperkenalkan pengasas Al-Arqam dan Rufaqa, Abuya Ashaari iaitu jemaah yang bermasalah diasingkan ke lokasi terpencil untuk dikuarantin, dilarang bergaul atau bercakap dengan sesiapa serta ditempatkan di bilik kecil atau ruangan khas untuk “muhasabah diri”.

Pusat kuarantin itu dikatakan terletak di kawasan terpencil yang tanahnya milik GISBH.

Selain itu, Razarudin berkata PDRM juga sedang giat mengesan aset yang dikaitkan atau dimiliki oleh GISBH bagi membantu siasatan.

Beliau berkata PDRM juga telah membuka 10 kertas siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 susulan laporan berkaitan isu buruh paksa yang diterima daripada beberapa bekas pekerja syarikat itu.

Mengulas kenyatan beliau pada 25 Sept lepas bahawa rangkaian GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan perniagaan mereka, Razarudin berkata ia merujuk kepada tahun taksiran terkini yang sedang disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kerjasama PDRM.

“Siasatan ini memfokuskan kepada beberapa syarikat di bawah GISBH yang dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

PDRM melancarkan Op Global pada 11 Sept lepas dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH susulan dakwaan penglibatan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Sejak Op Global bermula lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa berjaya diselamatkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan