WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Guru Tidak Sangka Akaun Simpan SSPN Untuk Anak Menangi Cabutan Siri WOW! Kasih

28/09/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Seorang guru tidak menyangka Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang dibuka pada 2017 untuk anaknya diumumkan sebagai pemenang utama Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 bagi Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih hari ini.

Chan Yin Ling, 44, guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Kerayong, Bera, Pahang itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.

“Saya buka akaun Simpan SSPN Prime anak saya pada Mac 2017, masa itu anak pertama saya berusia enam tahun dan anak kedua berusia tiga tahun.

“Saya sangat sokong produk Simpan SSPN ini untuk kegunaan pendidikan anak-anak di masa akan datang, jika anak dapat melanjutkan pengajian ke luar negara atau masuk ke institusi pengajian pendidikan tinggi (IPT), simpanan ini dapat digunakan," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 sempena Sambutan Hari Tabungan Sedunia hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Chan turut menyarankan agar ibu bapa menabung untuk anak-anak sejak dari kecil demi masa depan khususnya bagi pendidikan.

Sementara itu, Norliza berkata tahun ini genap dua dekad usia Simpan SSPN dan tempoh itu bukan satu fasa yang singkat kerana PTPTN telah mengharungi pelbagai cabaran untuk memastikan Simpan SSPN terus kekal relevan sebagai produk simpanan terbaik dan berdaya saing di negara ini.

“Pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan membanggakan. Sehingga 31 Ogos 2024, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM18.85 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 6.54 juta.

“Berdasarkan prestasi kutipan deposit dalam tempoh enam tahun penganjuran BMS, saya optimis BMS 2024 akan mencatatkan kutipan deposit Simpan SSPN yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata untuk BMS kali ini, PTPTN menyasarkan jumlah deposit Simpan SSPN sebanyak RM220 juta.

“Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama oleh pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan," katanya.

Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) merupakan program signature PTPTN dalam memartabatkan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.

Ketika Majlis Pelancaran BMS 2024, turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, penyampaian hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 (Kategori Cabutan Siri WOW! Kasih), penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Action Song Simpan SSPN dan tayangan lagu korporat PTPTN yang telah diberi nafas baru.

Pertandingan Action Song Simpan SSPN dimenangi Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nanas 1 yang membawa pulang wang tunai RM3,750.

Guru sekolah Nurfarah Sahira Ahmad Tarmizi berkata pertandingan itu secara tidak langsung membudayakan sikap menyimpan dalam kalangan anak-anak.

“Apabila masuk program sebegini ia bukan sahaja tentang aktiviti yang dilakukan tetapi anak-anak murid juga akan celik menabung, tahu program BMS ini melalui gubahan lirik yang dihasilkan dan sebagainya.

“Selain itu, dengan menyertai program ini, PTPTN secara automatik akan membuka akaun Simpan SSPN mereka, duit yang menang ini juga akan dimasukkan ke dalam akaun 15 murid yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Nur Dinie Mohd Ridzuan, 28, berkata penganjuran program BMS seperti ini amat baik kerana membuka peluang kepada ibu bapa untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai BMS, manfaat serta keistimewaannya.

“Saya dapat tahu mengenai program ini dari media sosial Dr Shazril Shaharuddin (Dr Say), sebab itu hari ini saya datang untuk dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Simpan SSPN sebelum buka akaun.

“Apabila adanya program begini yang konsepnya lebih dekat dengan orang ramai dan mudah untuk dapatkan maklumat, senanglah kita nak buka akaun,” katanya dan menambah beliau akan membuka akaun Simpan SSPN untuk dua anaknya yang berusia dua tahun dan tiga bulan hari ini.

Beliau berkata Simpan SSPN kini menjadi keperluan untuk kos pengajian anak-anak di masa depan dan berharap simpanan itu nanti akan dapat membiayai anaknya ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan. Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2024, layari www.ptptn.gov.my/BMS2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan