WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ZTE, U Mobile Meterai MoU Cipta Aplikasi Pertanian Pintar

28/09/2024 09:59 PM

Oleh Hasnah Jusid

BEIJING, 28 Sept (Bernama) -- Syarikat teknologi komunikasi, ZTE (Malaysia) Corporation, dan penyedia perkhidmatan data mudah alih U Mobile, hari ini memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi membangunkan aplikasi pertanian pintar dan penyelesaian penggunaan yang berkesan.

Pengarah Urusan ZTE Malaysia Steven Ge berkata kerjasama itu memberi tumpuan untuk menyediakan liputan mudah alih yang pantas dan berkesan bagi meningkatkan sektor pelancongan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan pertanian luar bandar.

Beliau berkata ZTE akan memanfaatkan kepakaran teknologinya untuk menyediakan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan tempatan.

“Dalam bidang pertanian, kerjasama itu akan bertumpu kepada penggunaan penyelesaian pintar yang dikuasakan 5G, platform awan, RedCap dan internet pelbagai benda (IoT) untuk mengautomasikan dan meningkatkan produktiviti operasi pertanian.

“Langkah ini menyokong transformasi digital Malaysia dalam sektor pertanian, termasuk penyelesaian untuk jentera autonomi dan pemeriksaan mesin,” katanya selepas majlis menandatangani MOU itu di pejabat ZTE di Beijing.

Majlis itu dihadiri dan disaksikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Presiden ZTE Corporation di luar negara Xiao Ming dan ketua pegawai maklumat U Mobile Neil Tomkinson.

MOU itu ditandatangani oleh ketua pegawai pemasaran U Mobile Navin Manian manakala Steven Ge mewakili ZTE.

Menerusi kerjasama itu, ia akan menggabungkan teknologi penggunaan rangkaian capaian radio (RAN) termaju ZTE, yang menampilkan stesen pangkalan ringan, berkuasa rendah dan penyelesaian tenaga mesra alam seperti bateri litium dan panel solar, kata Steven.

Beliau berkata inovasi ini akan mendayakan pelancaran tapak mudah alih yang pantas dan cekap di kawasan luar bandar, sambil menyediakan pilihan yang kos efektif untuk meningkatkan ketersambungan di kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur gentian.

 Sementara itu, Navin berkata kerjasama ini selaras dengan usaha berterusan mereka untuk merapatkan jurang digital di Malaysia, khususnya dalam masyarakat luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Kami percaya bahawa keupayaan kami untuk memainkan peranan aktif dalam agenda nasional untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara yang didayakan secara digital dan dipacu teknologi akan dipertingkatkan lagi dengan perkongsian pengetahuan dan pandangan, serta memanfaatkan teknologi ZTE.

“Kami berharap dapat menonjolkan manfaat yang akan dibawa oleh transformasi digital 5G kepada sektor utama seperti pertanian, penjagaan kesihatan, pelancongan dan pendidikan di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan