WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Terima Kasih Pengundi, Kemenangan Hasil Kerjasama Baik Satu Pasukan - Onn Hafiz

28/09/2024 10:58 PM

KLUANG, 28 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang membolehkan mereka menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) itu hari ini. 

 Pengerusi BN Johor itu berkata kemenangan tersebut adalah hasil kerjasama yang sangat baik antara jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai satu pasukan sepanjang tempoh berkempen dalam usaha memenangkan calonnya pada PRK itu.

"Syukur Alhamdulillah, kita berkumpul dalam keadaan yang bersemangat apabila mendapat mandat yang cukup baik daripada rakyat.  

"Kita lihat bila kita bekerjasama sebagai satu pasukan, satu saf dan berganding bahu, keputusannya amat memberangsangkan. Ini bukan usaha solo mana-mana parti sebaliknya usaha satu pasukan. Alhamdulillah, kita dapat membuktikannya di sini dengan sokongan rakyat," katanya. 

Onn Hafiz, yang juga Pengarah PRK DUN Mahkota, berkata demikian kepada pemberita selepas pengumuman keputusan rasmi pilihan raya itu di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini malam ini yang turut dihadiri pemimpin BN dan PH. 

Menerusi  pengumuman itu, BN kekal mempertahan kerusi DUN Mahkota selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah, memperoleh kemenangan bergaya dengan majoriti besar 20,648 undi, jauh meninggalkan pencabar daripada Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar yang sekadar meraih 7,347 undi. 

Onn Hafiz juga berterima kasih kepada pucuk pimpinan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN serta jentera semua parti dalam Kerajaan Perpaduan yang bekerja siang malam sepanjang PRK itu. 

 “Bagi pihak BN, saya juga mengucap jutaan terima kasih kepada setiap pengundi yang telah memberi mandat kepada kita dan seperti telah dijanjikan, hari ini mereka memberi mandat, esok Syed Hussien akan terus bekerja untuk masyarakat," katanya.  

Memandangkan PRK telah berakhir, Onn Hafiz berharap semua pihak boleh kembali ke tugas hakiki masing-masing dan berkhidmat untuk negara serta negeri, dan kerajaan pimpinannya akan terus menjaga kebajikan rakyat, meningkatkan ekonomi serta membawa Johor dan Malaysia ke tahap lebih membanggakan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan