WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Akta 852 Berkaitan Kawalan Produk Merokok Berkuat Kuasa Esok

30/09/2024 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan pada 2 Feb lepas akan berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya, bermula esok. 

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan penguatkuasaan akta itu melibatkan beberapa aspek yang akan dikuatkuasakan secara serta-merta dan berfasa.

Ia termasuk peruntukan berkaitan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.

“(Selain itu) peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

Selain itu, pembungkusan dan pelabelan yang akan dikuatkuasakan mengikut produk (product-by-product) selewat-lewatnya 1 Okt 2025, serta kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.

Pada masa sama, KKM memaklumkan penguatkuasaan undang-undang secara berkesan dan mampan juga memerlukan persefahaman serta kerjasama daripada semua pihak.

Oleh itu, kementerian itu akan menerbitkan bahan pendidikan dan advokasi untuk membantu seluruh pihak berkepentingan memahami Akta 852 dengan lebih jelas dan meneruskan sesi libat urus berkaitan pematuhan akta berkenaan terutamanya dengan pemain industri.

“KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” menurut kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 boleh dibuat di talian 03-8892 4552 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949 pada Isnin hingga Jumaat, dari 8 pagi hingga 5 petang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan