WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Ulangi Komitmen Perkukuh Hubungan Dengan Asean

05/10/2024 01:50 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Malaysia komited untuk memperkukuh hubungan erat dengan negara jiran ASEAN, ketika negara ini bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam temu bual bersama CNBC, Anwar turut menekankan kepentingan kerjasama dan dialog yang konstruktif dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi menangani isu-isu serantau.

"Kita ada masalah kecil di sempadan dengan Thailand, dengan Singapura pula isu air terus dibincangkan, tetapi kami tidak membincangkannya sebagai musuh ketat.

"Kita berbincang sebagai rakan, saudara dan satu keluarga. Saya yakin kita mampu menyelesaikannya. Jika tidak, ia tidak akan menimbulkan sebarang ketidakpercayaan, permusuhan atau peperangan.

"Kami berharap untuk mencapai konsensus, terutamanya dalam isu-isu yang lebih sensitif seperti Laut China Selatan," katanya sambil menambah bahawa mekanisme dua hala, pelbagai hala dan ASEAN perlu digunakan untuk menangani perkara tersebut.

Pada masa sama, Anwar mengulangi komitmen Malaysia untuk memupuk hubungan positif dengan semua negara, sambil menegaskan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.

"Kami mempunyai hubungan baik dengan AS, yang merupakan pelabur utama, dan secara kumulatif yang terbesar di Malaysia, dengan pelaburan besar baru masih menerajui.

"Dalam 15 tahun kebelakangan ini, China turut meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Malaysia. Kita harus menggunakan peluang ini untuk memastikan hubungan yang berterusan," katanya

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan