WILAYAH - UTARA > BERITA

Residensi Bukit Gelugor Siap Lebih Awal, Projek Terbesar PR1MA Di Pulau Pinang

05/10/2024 07:34 PM

GEORGE TOWN, 5 Okt (Bernama) -- Projek perumahan Residensi Bukit Gelugor (Ideal Residency) yang siap lebih awal berbanding tarikh dijadualkan pada Ogos 2025 mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah lebih RM365 juta.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek itu merupakan usaha sama antara Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) iaitu agensi perumahan mampu milik utama di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Ideal Capital Venture Sdn Bhd.

"Projek terdiri daripada 1,218 unit itu adalah projek terbesar PR1MA di Pulau Pinang yang telah siap sepenuhnya pada 22 Ogos lepas dan telah menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dengan 1,198 unit telah terjual setakat 30 Sept 2024," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Ideal Residency di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Datuk Seri S.Sundarajoo serta Pengerusi Ideal Property Group Tan Sri Alex Ooi Kee Liang turut hadir pada majlis tersebut yang menyaksikan 20 pembeli rumah Ideal Residency menerima kunci rumah masing-masing.

Nga berkata Residensi Bukit Gelugor bernilai RM300,000 seunit dan berkeluasan 850 kaki persegi dengan setiap unit menyediakan ruang moden, tiga bilik tidur dan dua bilik air serta balkoni.

Setiap unit juga dilengkapi dengan gajet pintar supaya penghuninya dapat menikmati Internet berkelajuan tinggi selain dilengkapi fasiliti termasuk gelanggang badminton dan bola keranjang, trek joging, kolam renang, jakuzi, gimnasium, kawasan permainan kanak-kanak, ruang kerja guna sama, dewan serbaguna, surau, taman komuniti, ruang barbeku, dek pandangan dan bilik yoga.

Beliau berkata projek Residensi Bukit Gelugor adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan melalui PR1MA untuk mewujudkan perumahan yang selesa dan memenuhi permintaan, serta mampu dimiliki rakyat terutamanya di Pulau Mutiara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan