WILAYAH - SELATAN > BERITA

Perbarisan Tempur Statik, Demonstrasi Dinamik Tarikan Sambutan Hari ATM Ke-91

05/10/2024 08:42 PM

PORT DICKSON, 5 Okt (Bernama) -- Perbarisan tempur statik dan demonstrasi dinamik memukau penonton yang hadir menyaksikan sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-91 di Kem Segenting di sini hari ini.

Pada sambutan bertemakan “Angkatan Masa Hadapan: Benteng Pertahanan Negara” itu, demonstrasi dinamik berkenaan disertai 134 pegawai dan 1,395 anggota lain-lain pangkat yang memperlihatkan keupayaan aset serta kompetensi ATM melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui tiga fasa.

Fasa berkenaan membabitkan keupayaan aset ATM dan kompetensi anggota, operasi maritim, operasi serangan amfibi dan operasi daratan serta fasa ketiga dalam peperangan konvensional operasi amfibi yang berlangsung di padang kawad Akademi Tentera Darat di kem berkenaan.

Perbarisan tempur statik pula diketuai Pegawai Memerintah Rejimen 21 Komando Kol Razak Akob melibatkan empat kontinjen terdiri daripada TDM, TLDM, TUDM dan pasukan Batalion Malaysia 850-12 (MALBATT 850-12). 

Perbarisan terbabit turut menyaksikan terbang lintas empat helikopter ATM membawa bendera angkatan itu, TDM, TLDM dan TUDM, dengan diiringi Pancaragam Pusat ATM.

Demonstrasi pada sambutan Hari ATM kali ini melibatkan 264 aset merangkumi 230 aset TDM, TLDM (19) dan TUDM (15).

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman ketika berucap berkata tema sambutan tahun ini mencerminkan kepentingan setiap warga ATM untuk terus meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan demi memastikan keupayaan menghadapi pelbagai ancaman serta cabaran masa kini dan masa hadapan.

"Ingin saya maklumkan bahawa pelaksanaan Gerak Tindak Reformasi Angkatan 30 sedang berjalan dengan lancar. Tumpuan seterusnya adalah pada fasa reka bentuk angkatan yang telah bermula sejak Januari lepas hingga Disember tahun hadapan.

"ATM akan terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan negara sentiasa menjadi keutamaan. ATM sebagai benteng utama pertahanan negara akan terus komited untuk mendukung misi dan wawasan negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan