WILAYAH - UTARA > BERITA

SWSI: Perkhidmatan Bekalan Air Di SPT, SPS Pulih Sepenuhnya

09/10/2024 04:38 PM

GEORGE TOWN, 9 Okt (Bernama) -- Perkhidmatan bekalan air pulih 100 peratus membabitkan 118,000 pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual (SWSI) di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) dekat sini sejak Jumaat lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk K. Pathmanathan berkata tiga kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di SPS iaitu Persiaran Jawi Golf Resort, Jalan Sungai Duri dan Taman Widuri yang masih mengalami gangguan semalam telah menerima bekalan air hari ini.

"Kira-kira 1 pagi tadi data yang direkodkan di Pusat Kawalan Bekalan Air Pulau Pinang menunjukkan tekanan air di tiga kawasan kejiranan itu mencapai paras 10 meter (m) head (1 bar) pada kedudukan meter PBAPP.

''Bacaan sedemikian untuk kawasan kediaman menunjukkan bekalan telah dipulihkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 118,000 akaun pengguna di lebih 40 kawasan di SPT dan SPS mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam bermula 10 malam 4 Okt hingga 10 malam 5 Okt namun menjadualkan semula pemulihan bekalan disebabkan insiden luar jangka pada kerja pembaikan paip di Jalan Pengkalan Tambang, SPU.

Langkah itu bagi membolehkan PBAPP membaiki kebocoran paip yang menjejaskan perkhidmatan di SPT dan SPS susulan penyambungan serta penggantian saluran paip baharu sepanjang 180 meter berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh yang menelan kos RM2 juta.

Mengulas lanjut, Pathamanthan berkata kemungkinan punca pemulihan yang tertangguh di tiga kawasan itu disebabkan penggunaan air sangat tinggi di SPT dan SPS berikutan SWSI.

Beliau berkata air terawat yang dipam ke SPS tidak dapat sampai ke tiga kawasan kejiranan itu kerana air berkenaan digunakan oleh pengguna yang terletak di hulu.

"Setelah tangki air dan takungan di hulu (di SPT dan SPS) diisi semula, isi padu air yang mencukupi pada tekanan yang betul sampai kepada pengguna di Persiaran Jawi Golf Resort, Jalan Sungai Duri dan Taman Widuri," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan