WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SkyWorld Bekerjasama Dengan PR1MA Bina Rumah Mampu Milik Di Brickfields

09/10/2024 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh SkyWorld Development Bhd, Aspirasi Cekap Sdn Bhd (ACSB) memeterai perjanjian pembangunan bersama dengan PR1MA Corporation Malaysia untuk membina rumah mampu milik.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya projek di Brickfields di ibu negara yang dikenali sebagai SkyAwani Prima, melibatkan pembinaan 491 unit pangsapuri, dengan keluasan binaan bagi setiap unit adalah 900 kaki persegi.

SkyAwani Prima terletak di atas tanah pegangan pajakan berkeluasan kira-kira 0.80 hektar, berharga RM390,000 bagi setiap unit.

“Kerjasama antara SkyWorld Development Group dan PR1MA untuk membina rumah mampu milik di Brickfields menangani permintaan yang semakin meningkat bagi kediaman mampu milik di samping menggalakkan pembangunan komuniti,” kata Skyworld.

Berikutan lokasi projek yang strategik dan harga mampu milik, ia adalah pilihan berdaya maju untuk isi rumah berpendapatan sederhana dan pembeli rumah kali pertama yang berhasrat mendapatkan rumah mampu milik, katanya.

Menerusi terma perjanjian itu, ACSB akan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pembinaan projek, dengan nilai pembangunan kasar RM191.49 juta.

Sehubungan itu, PR1MA berhak menerima RM32.17 juta sebagai kos tanah.

Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, tempoh pembangunan projek dijangka siap dalam tempoh 48 bulan daripada tarikh pembinaan bermula.

Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development Lee Chee Seng dalam kenyataan berkata, berikutan lokasi yang strategik di Brickfields, syarikat optimis terhadap potensi permintaan yang kukuh dan komited untuk memberi manfaat dalam sektor perumahan mampu milik.

“Bersama-sama PR1MA, kami berhasrat mewujudkan ruang kediaman yang bukan sahaja menyediakan tempat perlindungan, malah memupuk semangat kemasyarakatan dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan penduduk,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan