WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Thailand Kemuka Tiga Bidang Utama Untuk Perkukuh Kepimpinan ASEAN Di Tengah Cabaran

09/10/2024 05:44 PM

Oleh Kenny Teng

VIENTIANE, 9 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra mengemukakan tiga bidang utama untuk memperkukuh kepimpinan kolektif dalam ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang diadakan di sini pada Rabu.

Paetongtarn, Perdana Menteri Thailand termuda pada usia 37 tahun dan satu-satunya pemimpin wanita, menggariskan tiga bidang utama yang perlu diberi tumpuan oleh ASEAN untuk memperkukuh kepimpinan serantau, iaitu kelestarian, keselamatan manusia, dan integrasi serantau yang lebih mendalam.

“Kelestarian, keselamatan manusia, dan integrasi serantau yang lebih mendalam adalah bidang penting di mana kepimpinan kolektif dalam ASEAN boleh memacu kemajuan bermakna,” katanya semasa sesi tertutup sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Pusat Konvensyen Kebangsaan.

Ucapan Perdana Menteri itu dikongsi oleh jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Houngsab.

Paetongtarn juga menekankan keperluan mendesak bagi kerjasama lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN untuk menangani cabaran yang semakin kompleks, daripada ketegangan geopolitik hingga bencana alam.

Beliau merujuk kepada kemusnahan yang dibawa oleh Taufan Yagi sebagai peringatan nyata terhadap kelemahan yang dihadapi rantau ini.

“Pada masa kritikal ini, ASEAN berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk persaingan geopolitik dan bencana alam. Kesan meluas Taufan Yagi terhadap komuniti ASEAN menekankan perlunya tindakan yang diselaraskan,” katanya.

Beliau turut menekankan komitmen Thailand untuk mempromosikan pembangunan berpaksikan rakyat dan membina masyarakat ASEAN yang lebih berdaya tahan dan saling berhubung.

Untuk mencapainya, beliau berkata ASEAN mesti melibatkan rakan kongsi luar dan mengukuhkan pemusatan serta kesatuan dalam menghadapi cabaran bersama.

"ASEAN tidak boleh memajukan inisiatif ini bersendirian. Kita mesti memperkukuh kerjasama dengan rakan kongsi sambil bertindak bersama dalam isu-isu yang menjadi kepentingan bersama. Ini akan memastikan penglibatan ASEAN dengan rakan kongsi luar adalah strategik dan relevan,” katanya.

Paetongtarn memberi amaran agar ASEAN tidak dijadikan alat dalam persaingan kuasa besar global, sebaliknya menyeru kerjasama konstruktif untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

Dalam ucapan penutupnya, Paetongtarn melahirkan keyakinan Thailand terhadap masa depan kerjasama ASEAN, khususnya dalam menjalin Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Korea Selatan dan ASEAN-New Zealand.

Ucapan Perdana Menteri itu mengukuhkan komitmen Thailand terhadap ASEAN yang bekerjasama dan berdaya tahan ketika rantau ini mengharungi kedinamikan global yang semakin kompleks.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan