WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penyertaan Dalam COP29 Bukti Malaysia Komited Tangani Isu Perubahan Iklim - Nik Nazmi

09/10/2024 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited dalam menangani isu perubahan iklim dengan pendekatan keseluruhan negara.

Menteri berkenaan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penyertaan Malaysia dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCC-COP29) di Baku, Azerbaijan pada November ini membuktikan bahawa kerajaan berusaha memacu agenda iklim di peringkat global dan serantau.

Beliau berkata penyertaan NRES sebagai Setiausaha Agung COP29 juga sebagai mewakili dan mengulangi komitmen negara yang bercita-cita tinggi terhadap agenda di peringkat global itu.

"Pavilion kita di COP29 akan memperkukuh inisiatif kerajaan dan syarikat Malaysia di peringkat global serta membuka peluang kepada sektor swasta bagi menarik pelaburan dan mewujudkan peluang bersama untuk menyokong ekonomi rendah karbon.

"Tahun ini kami juga menjangkakan pelbagai perjanjian akan ditandatangani pada COP29, membabitkan syarikat di dalam negara dan di peringkat antarabangsa," katanya pada sidang akhbar selepas prapelancaran Pavilion Malaysia sempena COP29 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Huang Tiong Sii.

UNFCC-COP29 adalah mesyuarat tahunan dan sesi rundingan antarabangsa terbesar di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan isu berkaitan perubahan iklim dan edisi tahun ini akan berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan dari 11 hingga 22 Nov.

Nik Nazmi juga berkata pada COP29, Malaysia akan memfokus kepada kewangan iklim, mengetengahkan janji-janji yang tidak dipenuhi oleh negara maju dan mengambil bahagian dalam sesi perbincangan berkaitan garis panduan, modaliti serta program kerja bagi pelaksanaan Perjanjian Paris.

"Kita juga telah menggunakan Panel Penasihat Perubahan Iklim dan Panel Perundingan Perubahan Iklim yang diwakili oleh badan korporat, NGO dan ahli akademik selain pihak berkepentingan yang terlibat secara langsung dalam penyertaan kita pada COP29.

"Selain itu, kita telah mengadakan pelbagai mesyuarat dengan kementerian, jabatan, kerajaan negeri serta pakar dari dalam dan luar negara daripada segi perundingan atau perancangan acara di COP29," katanya.

Beliau juga berkata Malaysia komited ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050 bersama-sama inisiatif seperti Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dan Pelan Adaptasi Kebangsaan.

Nik Nazmi berkata kesemua matlamat ini tidak akan menghalang Malaysia daripada terus menggesa negara-negara maju agar menunaikan tanggungjawab mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan