WILAYAH - SABAH > BERITA

Karya Pelajar Sabah Menang Anugerah Emas Pertandingan Menulis Esei Antarabangsa

09/10/2024 09:09 PM

KOTA KINABALU, 9 Okt (Bernama) -- Pelajar Kolej Vokasional Keningau, Elisha Carmen Erick memenangi anugerah emas untuk penyertaan eseinya bertajuk 'A Letter to the Prime Minister' dalam pertandingan The Queen’s Commonwealth Essay Competition, baru-baru ini.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup dalam kenyataan hari ini berkata pelajar tahun dua dalam bidang teknologi pembinaan itu menerima keputusan dan sijil pencapaian tersebut melalui hantaran e-mel pada 26 Sept lepas.

Pada pertandingan itu, Nordin berkata Elisha menulis esei berbentuk surat merayu pemimpin negara agar menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang merupakan isu semakin merisaukan terutama di Sabah.

Beliau berkata Elisha turut mengulas situasi itu yang menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kesukaran mendapat pendidikan formal, sekali gus mengurangkan peluang mereka untuk mengubah kehidupuan dari segi sosial dan ekonomi.

Elisha melahirkan perasaan gembira dengan pencapaian itu kerana beliau adalah seorang yang gemar meluahkan pendapat melalui penulisan dan berjaya menerbitkan rencana editorial pertamanya di sebuah majalah pendidikan beberapa bulan lepas.

Sementara itu, Nordin turut mengucapkan tahniah kepada Elisha dan berharap pencapaian tersebut akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk mendalami bidang penulisan dan kewartawanan dengan lebih gigih serta dapat membantu mereka mengasah kemahiran berfikir serta kemahiran menggunakan bahasa yang dipelajari.

The Queen’s Commonwealth Essay Competition adalah pertandingan penulisan esei Bahasa Inggeris dianjurkan setiap tahun oleh Royal Commonwealth Society, United Kingdom, sejak 1883 dan ia terbuka untuk semua pelajar sekolah di seluruh dunia.

Setiap esei yang disertakan akan dinilai dan dianugerahkan dengan anugerah emas, perak dan gangsa serta sijil penyertaan berdasarkan julat pemarkahan ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan