WILAYAH - TENGAH > BERITA

Pendidikan STEM Siapkan Belia Hadapi Kemajuan Industri Kreatif - Teo

11/10/2024 01:51 PM

PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) merupakan pendorong bagi mempersiapkan generasi masa depan Malaysia agar dapat beradaptasi dengan kemajuan pesat teknologi industri kreatif digital, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata usaha bagi membuka peluang kepada belia untuk berjaya dalam industri kreatif digital diperlukan memandangkan saiz pasaran industri itu diunjurkan mencecah AS$687.4 bilion (hampir RM3 trilion) menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun 9.97 peratus antara 2020 dan 2027.

Menurut Teo, subsektor dalam industri teknologi kreatif juga berkembang maju, sebagai contoh, saiz pasaran animasi global yang diramal meningkat kepada lebih AS$587 bilion (RM2.5 trilion) menjelang 2030.

"Dengan melabur dalam bidang ini, kita menyediakan asas untuk masa depan negara yang dipacu teknologi dan inovasi.

 "Untuk maju dalam industri ini, kita memerlukan lebih banyak bakat dan pekerja mahir..inilah sebabnya kita mahu terus memupuk minat terhadap industri ini dalam kalangan anak-anak muda," katanya ketika merasmikan Cyberjaya Digital Creative Circuit (CIRc8) 2024 di sini hari ini.

CIRc8 dianjurkan sebagai platform yang menyatukan kreativiti digital dan inovasi teknologi dalam kalangan pemain industri di Cyberjaya.

Teo turut menyaksikan pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara Animonsta Studios Sdn Bhd dan Cyberview Sdn Bhd (Cyberview) serta pertukaran surat niat (LoI) antara TODAK Holdings Sdn Bhd dan Cyberview. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan