WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Diaspora Malaysia Di China Disaran Perkukuh Daya Saing Negara - Dr Zaliha

11/10/2024 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Diaspora Malaysia di China khususnya di Shenzhen, digesa memanfaatkan rangkaian global mereka untuk memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Gesaan itu dibuat beliau ketika menjadi tuan rumah meraikan 40 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelajar, penjawat awam, serta wakil syarikat milik Malaysia di Shenzhen, semalam.

Dr Zaliha kini dalam rangka lawatan rasmi selama enam hari ke China bermula 7 Okt lepas.

Dalam pertemuan itu, Dr Zaliha turut menjelaskan keadaan ekonomi Malaysia yang semakin kukuh hasil daripada kestabilan politik yang wujud dalam negara.

"Kestabilan politik yang kita nikmati hari ini telah meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebook miliknya. 

Selain itu, beliau turut menasihati pelajar Malaysia di China agar pulang dan menyumbang kepada pembangunan negara setelah menamatkan pengajian.

Dr Zaliha juga berkongsi pencapaian negara baru-baru ini, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diiktiraf sebagai pemimpin Islam ke-15 paling berpengaruh di dunia, satu pengiktirafan yang membanggakan bagi Malaysia.

Dalam pertemuan itu, Dr Zaliha turut menekankan peranan penting yang dimainkan oleh ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan