WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengurangan Pekerja Tiktok: Tidak Jejas Operasi Di Malaysia, Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa - Fahmi

12/10/2024 04:43 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Tindakan TikTok mengurangkan jumlah pekerjanya tidak akan menjejaskan operasi mereka dan hubungan kerjasama syarikat itu dengan pihak berkuasa di negara ini, khususnya dalam aspek penelitian dan saringan kandungan serta sesi Live.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata berdasarkan pertemuannya dengan TikTok Malaysia semalam, syarikat itu memaklumkan jumlah tenaga kerja di negara ini masih tinggi, iaitu sekitar 3,700 orang dengan pemberhentian hanya melibatkan 481 pekerja.

“Malah TikTok akan membuka beberapa jawatan baharu dan menambah jumlah pekerja kerana ada beberapa perkhidmatan baharu yang akan mereka sediakan, termasuk pengkomputeran awan dan pusat data.

“TikTok memaklumkan di mana sahaja mereka beroperasi dan ada pasukan moderation, memang jumlah pekerja dalam jabatan ini berkurangan tetapi tidak mendatangkan apa-apa kesan negatif kepada operasi mereka di Malaysia dan tidak menjejaskan hubungan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi Program Kesihatan Lembah Pantai bersama IMU Cares di PPR Kerinchi di sini hari ini.

Fahmi berkata tindakan pemberhentian tersebut dibuat syarikat itu antara lain disebabkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara meluas, untuk melakukan saringan dan moderation bagi kandungan TikTok.

“Maka pasukan yang telah mereka kurangkan saiznya dan diberhentikan pekerjanya adalah dalam kalangan pekerja yang membuat moderation secara manual. Jadi di sini kita lihat secara umum kerja-kerja yang mungkin bersifat repetitif dan manual, inilah jenis-jenis pekerjaan yang mungkin akan terkesan dengan penggunaan AI,” katanya.

Fahmi bagaimanapun turut meminta TikTok agar menambah moderator secara manual bagi kandungan atau sesi Live dalam bahasa Cina dan Tamil, terutamanya pada tengah dan lewat malam.

“Mereka sedang dalam proses untuk menambah jumlah moderator manual dan saya juga minta supaya mereka meningkatkan protokol pemantauan kandungan terutama bagi TikTok Live yang kadang-kadang berlaku di tengah malam.

“Contoh masalah yang berlaku dalam kes buli siber sesi TikTok Live itu berlaku pukul 1 pagi, 3  pagi dan moderation team tidak tidak beroperasi pada waktu itu dan ini satu kelompongan.  Mereka mengambil maklum dan sedang menambah baik operasi mereka,” katanya.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan