WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Fatwa Di Bawah RUU Mufti (WP) 2024 Hanya Untuk Orang Islam - Mohd Na’im

12/10/2024 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Fatwa yang diwartakan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 adalah hanya mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. 

Mohd Na’im berkata demikian bagi menjelaskan kekeliruan dan salah faham mengenai dakwaan penggubalan RUU itu akan menggugat kebebasan rakyat di negara ini.

“Perlu difahami bahawa sesuatu fatwa yang diwartakan di bawah RUU Mufti ini adalah mengikat orang Islam sahaja serta terhad di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan butiran 1 Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebelum fatwa itu boleh mengikat, ia perlu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Majlis Agama Islam terlebih dahulu. Dalam pada itu, fatwa juga tidak boleh bercanggah dengan mana-mana undang-undang bertulis,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya hari ini. 

Beliau berkata RUU Mufti itu bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan Mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan di Wilayah Persekutuan (WP) sahaja.

“RUU ini memperuntukkan sembilan bahagian iaitu bahagian permulaan, Mufti dan Timbalan Mufti, Jawatankuasa Fatwa, pengeluaran fatwa, penentuan kiblat, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dan perunding akidah dan pelbagai,” katanya.

Mohd Na’im berkata penggubalan RUU itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam memartabatkan sistem perundangan dan kehakiman bagi undang-undang diri orang Islam, seterusnya menjamin hak-hak keadilan kepada umat Islam di Malaysia.

“Menerusi RUU Mufti, pengasingan kuasa antara Jabatan Agama Islam, Mufti dan Mahkamah Syariah akan kelihatan lebih jelas. Pentadbiran keadilan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Hukum Syarak di bawah bidang kuasa Mufti akan ditadbir oleh Akta berasingan,” katanya. 

Selain itu,  beliau berkata hak kebebasan individu di negara ini tetap terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, walaupun ia tidak bersifat mutlak dan terbatas oleh peruntukan tertentu seperti Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5).

“Sebagai contoh, hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan ialah untuk hidup beragama, bukanlah hidup tidak beragama. Hak kebebasan beragama bagi orang Islam ialah kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama yang sebenar seperti ditentukan oleh ulil amri atau ketua agama.

“Dalam penentuan ajaran agama Islam yang sebenar, maka ia hendaklah berlandaskan Hukum Syarak. Mufti Wilayah Persekutuan hanya bertanggungjawab menentukan persoalan hukum syarak yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” katanya. 

Sementara itu, Mohd Na’im berkata penggubalan undang-undang yang bersifat pengawalan adalah ciri negara berdaulat dengan tiada individu bebas melanggar prinsip perlembagaan, selain sekatan kebebasan seseorang tidak bermaksud hak asasi dilanggar kerana keabsahan hak asasi ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai contoh, fatwa mengenai amalan ajaran agama Islam yang sesuai mengikut keadaan tempatan serta larangan ikutan terhadap ajaran, pegangan dan fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar,” katanya. 

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam yang mengakibatkan tafsiran yang salah terhadap RUU Mufti itu kerana ia akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara.

“Kita seharusnya menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti kerana Mufti adalah pihak berkuasa yang berautoriti untuk memberi nasihat tentang Hukum Syarak sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 33 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) (Fasal 4 RUU Mufti).

“Saya ingin mengajak seluruh umat Islam memberi sokongan terhadap penggubalan RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024,” katanya. 

Semalam, media melaporkan Mohd Na’im mengesahkan bahawa RUU Mufti akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula 14 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan