WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kebakaran Di Brazil Musnahkan Kawasan Melebihi Saiz Belarus Setakat Tahun Ini

12/10/2024 11:31 PM

RIO DE JANEIRO, 12 Okt (Bernama-dpa) -- Kawasan yang setanding dengan saiz Belarus terbakar di Brazil antara Januari dan September 2024, menurut laporan yang diterbitkan pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebanyak 22.38 juta hektar telah terbakar dalam sembilan bulan pertama 2024, peningkatan sebanyak 150 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023, menurut laporan inisiatif MapBiomas.

Kawasan ini bersamaan dengan kira-kira 2.6 peratus daripada keluasan tanah Brazil, lebih besar daripada Belarus (20.29 juta hektar) dan hampir sama dengan saiz Romania (23 juta hektar).

Bagi laporan itu, rangkaian yang terdiri daripada universiti, organisasi bukan kerajaan dan syarikat teknologi menganalisis imej satelit dan data lain.

Lebih separuh daripada kawasan yang terbakar adalah di wilayah Amazon. Pada September sahaja, 5.5 juta hektar terbakar di sana - peningkatan 196 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023.

"Musim kering di Amazon, yang biasanya berlangsung dari Jun hingga Oktober, amat teruk tahun ini dan memburukkan lagi krisis kebakaran di rantau tersebut," kata Ane Alencar daripada MapBiomas.

Hutan hujan Amazon, yang digelar "paru-paru planet", menyerap karbon dioksida dari atmosfera, memainkan peranan penting dalam memerangi perubahan iklim.

Pada September, Cerrado, yang merupakan takungan air Brazil dan rumah kepada kira-kira lima peratus daripada semua spesies tumbuhan dan haiwan di Bumi, adalah bioma yang paling terjejas oleh kebakaran dari segi keluasan, dengan 4.3 juta hektar. Terdapat peningkatan sebanyak 158 peratus dalam kawasan yang terjejas berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Pada September, hampir 318,000 hektar kawasan Pantanal, kawasan paya terbesar di dunia, musnah akibat kebakaran - peningkatan 662 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Menurut data daripada Institut Penyelidikan Angkasa Lepas Nasional Brazil, yang bertanggungjawab untuk pemantauan satelit, negara Amerika Selatan itu mengalami kebakaran terburuk dalam tempoh 14 tahun sejak awal tahun ini.

 

                                                                                                                                                                                                                                                                                           


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan