WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Empat Pelajar Tahfiz Didapati Ada Kesan Cedera Disyaki Didera

12/10/2024 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Empat pelajar sebuah pusat tahfiz di Datuk Keramat di sini yang ditemui selamat di Bangi semalam selepas dilaporkan hilang sejak Selasa lepas, didapati mempunyai kesan kecederaan disyaki akibat penderaan dan kesalahan seksual.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata ini setelah pemeriksaan dilakukan atas persetujuan keluarga kanak-kanak berkenaan di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau berkata berdasarkan keterangan awal, pelajar lelaki berusia 13 hingga 14 tahun itu mendakwa melarikan diri kerana tidak tahan dengan keadaan di pusat tahfiz berkenaan.

"Mereka mendakwa didera dan menjadi mangsa (kesalahan) seksual, tetapi beri masa untuk polis menjalankan siasatan dan mengumpul keterangan yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas program larian sempena Hari Sukan Negara 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Rusdi berkata polis juga sudah merakam keterangan pengurusan tahfiz berkenaan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, Rusdi berkata tiga kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan kejadian buli membabitkan anak seorang penyanyi dan beberapa individu lain di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara.

“Polis masih melengkapkan dua kertas siasatan dan satu lagi kertas siasatan diberi arahan siasatan dalaman pihak sekolah, selepas kertas-kertas siasatan ini dibawa kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Sebelum ini, Rusdi berkata mangsa yang berusia antara 14 hingga 16 tahun dilaporkan mengalami kecederaan termasuk lebam pada tangan dan telinga. 

Mengenai program hari ini yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, beliau berkata program mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 4,000 peserta dalam acara antaranya Fun Ride 20 kilometer (km), Fun Run 5 km, sukaneka dan senamrobik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan