WILAYAH - SARAWAK > BERITA

GISBH: Seorang Lagi Akan Dituduh Kes Amang Seksual Kanak-kanak Di Johor

12/10/2024 08:54 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Seorang lagi individu yang dikaitkan dengan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di Johor pada 8.30 pagi esok.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berusia 20 tahun itu berdepan dua pertuduhan bagi kesalahan jenayah seksual membabitkan seorang remaja berusia 16 tahun.

“Lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dia ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada 1 Okt lepas setelah menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa suspek melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya sebanyak dua kali pada Jun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata tiga lagi individu termasuk seorang wanita juga akan dihadapkan ke mahkamah sama esok atas pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata suspek, yang berusia lingkungan 28 hingga 57 tahun dan bekerja di pusat peranginan milik GISBH, didapati memperdagang empat individu berusia lingkungan 30 hingga 57 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja paksa dengan ancaman.

Seorang suspek yang berusia 28 tahun juga akan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Keputusan pendakwaan dilakukan selepas kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt lepas dan hasil perbincangan dalam mesyuarat penyelarasan tindakan Jenayah Terancang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam,” katanya.

 Beliau berkata ketiga-tiga suspek juga didapati mengeksploitasi mangsa dengan cara mengaturkan perkahwinan paksa, menjodohkan mangsa dengan individu peringkat atasan selain tidak dibenar menggunakan telefon bimbit dan pasangan suami isteri hanya boleh berjumpa sekali atau dua kali dalam sebulan.

Khamis lepas, 16 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama ditahan semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata setakat ini, 58 individu ditahan di bawah akta itu sejak Op Global dilaksana pada September lepas.

Beliau berkata sepanjang tempoh operasi itu dilaksanakan, sebanyak 415 individu ditahan dan 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan oleh pihak polis.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan