WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Amri Yahyah Mahu Harimau Malaya Bawa Pulang Piala AFF

12/10/2024 07:24 PM

SHAH ALAM, 12 Okt (Bernama) -- Tiada apa yang dipinta selain menuntut komitmen tinggi daripada barisan pemain skuad Harimau Malaya untuk menamatkan penantian 14 tahun membawa pulang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) semula ke tanah air.

Bekas pemenang Piala AFF 2010 Mohd Amri Yahyah berkata ia bukan sesuatu yang mustahil untuk merealisasikan sasaran berkenaan dengan mengambil kira prestasi kian meningkat dipamer skuad kendalian Pau Marti Vicente ketika ini.

“Saya berharap piala ini (AFF) akan pulang semula ke Malaysia. Dah lama kita tunggu dengan kali terakhir ialah pada 2010. Saya minta pemain berikan komitmen tinggi.

“Pasukan kebangsaan tidak kurang hebatnya, kita lihat setiap perlawanan ada peningkatan, jadi harapan saya mereka dapat raih kemenangan pada setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui Bernama pada Siri Jelajah Piala AFF 2024 di sini hari ini.

Beliau dalam masa sama mengharapkan kejutan dilakar pada saingan itu sekali gus menjadi hadiah buat penyokong bola sepak negara yang selama ini sentiasa di belakang skuad Harimau Malaya.

“Walau apapun terjadi, skuad negara kena beri saingan sengit setiap perlawanan dan menanglah untuk penyokong sebab mereka berikan sokongan sepenuh hati,” katanya.

Rakan seperjuangan yang membantu menjulang trofi itu pada 2010, Norshahrul Idlan Talaha turut senada selain menitipkan kata-kata semangat buat pemain negara yang akan beraksi dalam saingan itu bermula Disember ini.

"Bermainlah demi lencana di dada untuk keluarga, diri sendiri kerana secara automatik anda akan dapat sesuatu yang anda mahukan,” katanya.

Malaysia muncul juara Piala AFF pada 2010 selepas menumbangkan Indonesia di final menerusi keputusan agregat 4-2.

Pada edisi kali ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand diikuti Singapura, Kemboja dan pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor-Leste.

Kumpulan B pula meletakkan Vietnam bersama-sama Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan