WILAYAH - UTARA > BERITA

Tiga Mangsa Banjir Berpaut Pada Pokok Untuk Selamatkan Diri

13/10/2024 12:09 PM

BALING, 13 Okt (Bernama) -- Seorang wanita warga emas dan dua lelaki di Kampung Haji Abas dekat sini berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam banjir dan terpaksa berpaut pada pokok bagi mengelak dihanyutkan arus deras.

Komander Operasi Kanan Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Mohamad Sofi Abdul Wahab berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.45 pagi. 

"Kami menerima panggilan kecemasan untuk operasi penyelamatan mangsa banjir pada 3.57 pagi dan 6.45 pagi tadi, panggilan meminta bantuan bagi menyelamatkan tiga mangsa yang sedang berpaut pada pokok.

"Pasukan penyelamat terpaksa mengharungi air yang agak deras menggunakan sistem tali dengan kelengkapan pakaian perlindungan keselamatan (PPE) untuk menyelamatkan mangsa. Semua mangsa  diselamatkan dan operasi tamat pada 8.10 pagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran.

"Air banjir di kawasan kejadian sedalam 0.5 hingga 1.5 meter dan terdapat beberapa kawasan arusnya deras disebabkan hujan berterusan," katanya.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa keluar dari rumah selepas banjir melanda bagaimanapun sewaktu dalam perjalanan menyelamatkan diri, arus terlalu deras menyebabkan mereka terpaksa berpaut pada pokok.

Sementara itu, di Kupang dekat sini, lima mangsa termasuk seorang pesakit strok dipindahkan setelah rumah mereka dinaiki air pada 9.29 pagi tadi.

"Operasi memindahkan mangsa terjejas di beberapa kawasan di Baling masih dijalankan sehingga kini dan turut membabitkan beberapa agensi lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan