WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sabah Pastikan Pelaksanaan Projek Infrastruktur Ikut Jadual, Kos Yang Ditetapkan - Shahelmey

13/10/2024 01:26 PM

PUTATAN, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan Sabah akan memantau kesemua 488 projek termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1B bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual serta kos yang ditetapkan, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata peruntukan hampir RM40 bilion daripada kerajaan Persekutuan bagi membangunkan infrastruktur itu mampu merancakkan lagi pembinaan projek berkaitan seperti jalan raya luar bandar, naik taraf sekolah daif dan pembangunan klinik kesihatan.

Sehubungan itu, Shahelmey berkata Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan menggalas tanggungjawab bersama bagi melihat keperluan tenaga kerja dan bahan binaan mencukupi, selain memastikan  koordinasi perkara penting seperti pengambilan tanah serta pengalihan utiliti berjalan lancar.

"Bagi pihak kerajaan Sabah, kita akan memantau status pelaksanaan dan kemajuan projek ini. Ini memerlukan satu kerjasama erat daripada kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, pihak kontraktor dan juru perunding yang terlibat dalam semua pelaksanaan projek tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Sukan Negara peringkat daerah di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kira-kira RM13 bilion daripada keseluruhan jumlah peruntukan bagi melaksanakan 488 projek infrastruktur manakala pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1A dan Fasa 1B bernilai RM26.6 bilion.

Shahelmey berkata kesemua pakej Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah kini berada dalam status pelaksanaan susulan penyerahan surat setuju terima lantikan kepada kontraktor baru-baru ini, dan hanya dua masih dalam proses perolehan yang dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1B dilakukan secara lebih efisien termasuk dalam aspek teknikal, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan tidak berlaku kelewatan sepanjang proses pembinaan berlangsung.

"Daripada pengalaman kita dalam pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1A ada kelewatan daripada pelbagai faktor. Jadi, apa yang kita lalui dalam fasa itu, kita cuba perbaiki dalam pelaksanaan pada Fasa 1B," katanya.

Mengulas mengenai program itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata lebih 1,500 masyarakat pelbagai lapisan umur menyertai sambutan Hari Sukan Negara peringkat daerah yang dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik seperti berbasikal dan larian ria. 

"Ini adalah satu respons positif dan semoga usaha ini akan dapat memberi manfaat dalam usaha memupuk budaya sukan dan kesihatan sebagai gaya hidup dalam kalangan masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan