WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Little India Meriah, Penganut Hindu Manfaat Cuti Hujung Minggu Buat Persiapan Deepavali

13/10/2024 08:20 PM

GEORGE TOWN, 13 Okt (Bernama) -- Saban tahun menjelang sambutan Deepavali, kawasan perniagaan Little India di Lebuh Pasar di sini pasti menjadi tumpuan ribuan penganut Hindu untuk membeli barangan keperluan.

Meskipun berbaki dua minggu lagi, kebanyakan penganut Hindu dilihat memilih membuat persiapan awal sambil memanfaatkan cuti hujung minggu dengan membawa ahli keluarga membeli-belah, malah premis perniagaan juga sudah mula menawarkan promosi serta diskaun hebat bagi pelbagai barangan dijual terutama pakaian.

Pesara swasta V. Gunasegaran,65, dari Bukit Mertajam berkata setiap tahun beliau akan membawa keluarga berbelanja di Little India kerana di situ lebih banyak pilihan selain mudah untuk tawar-menawar.

“Hari ini saya datang bersama isteri dan anak-anak untuk cari sari, pakaian punjabi dan lain-lain.

“Tahun ini saya rasa sambutan Deepavali lebih meriah, ekonomi pun semakin baik, jadi boleh buat persiapan lebih sedikit. Kalau sebelum ini hanya beli sepasang baju tapi kali ini mungkin boleh beli dua atau lebih,” katanya kepada Bernama.

C. Chandra Segaran,55, menyifatkan harga barangan yang dijual di situ berpatutan dan tidak banyak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Deepavali tahun ini jatuh pada hujung bulan, justeru tiada masalah dari segi persiapan kerana boleh dibuat lebih awal, namun perbelanjaan perlulah bergantung kepada kemampuan diri.

“Little India ibarat hab beli-belah Pulau Pinang buat kaum India, apa sahaja yang kita mahukan semua ada... lagipun harga ditawarkan amat berpatutan,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai manisan P. Naren berkata jualan di premisnya setakat ini memuaskan dan menjangkakan peningkatan pada minggu seterusnya hingga menjelang Deepavali pada 31 Okt ini.

Beliau berkata terdapat manisan dan kuih-muih tradisional yang dijual pada harga kekal dan ada yang turun berbanding tahun sebelumnya berikutan penurunan harga bagi beberapa bahan mentah oleh pembekal.

“Premis ini adalah pusat sehenti untuk biskut dan kuih-muih tradisional, malah manisan di sini semuanya buatan sendiri dan masih mengekalkan pembuatan secara autentik sejak 20 tahun lepas.

“Manisan sering dicari pelanggan ialah ‘chittu urundai’ dan ‘kallu urundai’ yang boleh didapati ketika Deepavali sahaja,” katanya.

Jurujual kedai pakaian S. Debaasini pula berkata jumlah pembeli meningkat lebih 50 peratus pada hari minggu termasuk dari Kuala Lumpur dan pelancong asing.

“Waktu operasi premis bermula 11.30 pagi dilanjutkan hingga 12 tengah malam berbanding hari biasa 9.30 malam selain kita menawarkan diskaun antara 50 hingga 70 peratus bagi pakaian yang dijual,” katanya.

Bagaimanapun Datuk S.Syuvabalan yang memiliki perniagaan aksesori dan barang kemas berkata jualan di premisnya tidak serancak tahun lepas berikutan orang ramai kini lebih gemar membeli-belah secara dalam talian.

“Kalau dilihat hujung minggu lebih sedikit (pelanggan) tetapi kalau hari biasa memang kurang,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan