WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sze Fei-Nur Izzuddin Bangkit Untuk Raih Gelaran Terbuka Artik

13/10/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, Oct 13 (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mempamerkan prestasi cemerlang untuk merangkul gelaran ketiga mereka tahun ini dengan menjuarai Terbuka Artik 2024 di  Vantaa, Finland, hari ini.

Pada aksi akhir di Energia Areena, Sze Fei-Nur Izzuddin bangkit daripada ketinggalan untuk menggagalkan harapan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk mempertahankan kejuaraan mereka dalam kejohanan Super 500 itu.

Selepas permulaan hambar yang menyaksikan mereka tewas set pertama 15-21, pasangan nombor lapan dunia itu berjaya mengembalikan keyakinan dengan kemenangan 21-15 pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set penentuan, beregu negara ketinggalan empat mata pada 7-11 tetapi berjaya melakukan kebangkitan luar biasa untuk menyamakan kedudukan pada 16-16 sebelum smash padu Sze Fei menutup perlawanan dengan 21-19, sekali gus memastikan gelaran kelima dalam karier mereka.

Lebih manis, kemenangan hari ini membolehkan mereka melengkapkan koleksi gelaran di semua empat peringkat Jelajah Dunia (Super 300, Super 500, Super 750 dan Super 1000).

Kemenangan itu menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$33,180 (kira-kira RM 142,192) manakala pasangan Denmark menerima AS$15,960 (RM 68,396).

Pada Ogos lepas, Sze Fei dan Nur Izzuddin dinobatkan sebagai juara Terbuka Jepun 2024 diikuti dengan kemenangan di Terbuka China 2024,bulan lepas.

Sementara itu, tiada kegembiraan berganda buat Malaysia selepas beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah terlepas peluang untuk memastikan gelaran kedua mereka tahun ini.

Dalam aksi final, Pearly-Thinnah yang turun sebagai pilihan ketiga  tewas kepada juara bertahan dan pilihan utama dari China Liu Sheng Shu-Tan Ning 12-21, 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 57 minit.

Dengan kemenangan ini, Sheng Shu-Tan Ning berjaya membalas dendam selepas tewas 14-21, 14-21 kepada Pearly-Thinaah di final Terbuka Hong Kong, bulan lepas.

Selaku juara, Sheng Shu-Tan Ning membawa hadiah wang tunai AS$$33,180 (RM142,192) manakala beregu negara meraih AS$15,960 (RMRM68,396), selaku naib juara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan