WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MATRADE Yangon Lancar Bazar Malaysia Bagi Mencari Pasaran Baharu Indo-China

16/10/2024 04:03 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak 30 syarikat Malaysia yang menyertai pameran perdagangan pelbagai sektor anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Yangon di Myanmar, berjaya mencatatkan potensi jualan sebanyak RM39.1 juta.

MATRADE Yangon melancarkan Bazar Malaysia pada 13 Okt, 2024 bagi mempamerkan kepelbagaian produk dan perkhidmatan siap Malaysia selain merancang mendapatkan jualan daripada 55 juta penduduk Myanmar.

Bazar itu mempamerkan barangan pengguna yang mendapat permintaan tinggi, pelancongan perubatan, alat ganti automotif, tekstil, perkhidmatan pendidikan dan produk minyak sawit.

Agensi perdagangan luar itu turut menggabungkan kempen dalam talian dan juga di tapak bazar bagi memupuk hubungan perniagaan baharu selain merebut peluang dalam pasaran Asia Tenggara dengan menganjurkan 63 pertemuan antara pemilik perniagaan daripada kedua-dua negara.

Program itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu melalui pameran secara langsung di Facebook, MATRADE Yangon menganjurkan program eBizlink iaitu pada 5 Okt, 2024 dan Bazar Malaysia yang diadakan dalam kedai di bazar berkenaan pada 13 Okt, 2024.

Pempengaruh tempatan terkenal Thazin Nwe turut menyiarkan secara langsung selain memperkenalkan rangkaian produk dan perkhidmatan Malaysia di pelbagai saluran termasuk Myanmar Celebrity TV serta halaman Facebooknya sendiri.

Program berkenaan berfungsi sebagai platform perniagaan untuk memperkenalkan jenama dan perkhidmatan Malaysia sedia ada dan baharu kepada pengguna Myanmar selain meningkatkan jualan pasar raya serta kedai serbaneka yang mengambil bahagian di bandar ini.

“Program eBizlink MATRADE dan Bazar Malaysia 2024 di Yangon adalah inisiatif tepat pada masanya dan dialu-alukan untuk menghubungkan semula pasaran Myanmar dengan produk dan perkhidmatan Malaysia selepas pandemik COVID-19.

“Inisiatif sebegini membantu dalam memastikan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan pengguna Malaysia termasuk pendidikan serta penjagaan kesihatan supaya kekal berada dalam fikiran pengguna di Myanmar,” kata Charge de Affaires Kedutaan Malaysia di Yangon, Johan Ariff dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Yangon Chong Yun Jang berkata Myanmar mewakili pasaran yang luas untuk pengeksport Malaysia.

“MATRADE Yangon akan terus mempergiatkan program promosi perdagangan dan sesi rangkaian untuk meraih lebih banyak peluang perniagaan bagi pengilang serta pengeksport Malaysia dalam pasaran yang besar ini,” kata Chong.

Yangon adalah bandar terbesar di Myanmar dengan populasi di kawasan metropolitan hampir enam juta orang dan terletak sejauh 375 kilometer dari ibu negaranya, Nay Pyi Taw.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan