WILAYAH - UTARA > BERITA

Gelombang Kedua: Mangsa Banjir Di Sungai Siput Tidak Dibenarkan Pulang - Exco

16/10/2024 07:27 PM

SUNGAI SIPUT, 16 Okt (Bernama) -- Semua mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Lasah, Dewan Pandak Hamid Pusat Sehenti Orang Asli Bawong dan Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah di Sungai Siput, masih tidak dibenarkan pulang disebabkan gelombang kedua banjir yang berlaku sejak malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata keadaan di kawasan terjejas, masih berada dalam keadaan tidak selamat untuk diduduki.

“Setakat ini tiada penduduk dibenarkan pulang. Kita tunggu fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 19 Okt ini dan selepas itu kita akan buat keputusan sama ada (mangsa banjir) boleh pulang atau sebaliknya.

“Walaupun air pasang besar melibatkan pesisir pantai, tapi kesannya kemungkinan juga kepada kampung-kampung di kawasan pedalaman (di sekitar Sungai Siput),” katanya kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat korporat di sini hari ini.

Antara barangan keperluan yang disumbangkan Jabatan Pertanian Negeri, Lembaga Pertubuhan Peladang serta Lembaga Air Perak kepada mangsa terlibat ialah alas tempat tidur, selimut, bantal serta barangan makanan.

Mohd Zolkafly berkata segala kemudahan seperti agihan makanan dan keperluan asas yang disediakan untuk mangsa di tiga PPS berkenaan adalah mencukupi.

“Walaupun ada sedikit kekurangan, tetapi daripada segi keselamatan dan kesihatan, mereka lebih baik berada di PPS berbanding di kediaman sendiri ketika ini,” katanya.

Sungai Siput antara kawasan yang terjejas teruk dilanda banjir di daerah Kuala Kangsar, dengan 809 daripada 256 keluarga berlindung di tiga PPS setakat petang ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan