WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Jenayah Dalam Talian Meningkat Lebih 35 Peratus Pada 2023

16/10/2024 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Jumlah kes jenayah dalam talian yang dilaporkan kepada polis meningkat 35.5 peratus iaitu sebanyak 34,532 kes dengan jenayah e-Dagang menyumbang kes tertinggi iaitu 33.2 peratus, menurut Statistik Jenayah Malaysia 2024 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata terdapat enam kategori di bawah jenayah dalam talian iaitu jenayah telekomunikasi, e-Kewangan, Love Scam, e-Dagang, pinjaman dan pelaburan tidak wujud.

“Jenayah e-Dagang merupakan penyumbang tertinggi jenayah dalam talian pada 2023 iaitu sebanyak 33.2 peratus. Ini diikuti oleh jenayah telekomunikasi (30 peratus), pelaburan tidak wujud  (15.6 peratus), pinjaman tidak wujud (12.3 peratus), e-Kewangan (6.1 peratus) dan Love Scam (2.7 peratus),” katanya.

Beliau berkata jenayah Love Scam melibatkan paling banyak mangsa wanita iaitu 78.2 peratus dan mangsa berusia 41 hingga 50 tahun merekodkan peratusan tertinggi mengikut kumpulan umur iaitu 24.3 peratus.

“Jenayah Love Scam turut  berlaku kepada warga emas berumur 61 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 15.8 peratus,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, jenayah komersial merekodkan peningkatkan sebanyak 32.1 peratus pada 2023 iaitu 40,350 kes berbanding 30,536 kes pada 2022.

“Kesalahan tipu adalah kes tertinggi direkodkan iaitu 36,936 kes, diikuti oleh pecah amanah jenayah (1,217 kes) dan kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (994 kes),” katanya.

Bagi jenayah indeks yang merangkumi jenayah kekerasan dan harta benda pula ia meningkat 3.2 peratus kepada 52,444 kes berbanding 50,813 kes pada 2022 dengan nisbah jenayah bagi setiap 100,000 penduduk meningkat kepada 149 berbanding 146.

“Lima negeri merekodkan nisbah jenayah indeks bagi setiap 100,000 penduduk melepasi peringkat nasional (149) iaitu Kuala Lumpur dengan 221, Selangor (196), Kedah (193), Pulau Pinang (193) dan Negeri Sembilan (159) manakala Sabah merekodkan nisbah jenayah indeks terendah iaitu 95, diikuti Kelantan (96) dan Terengganu (100),” katanya.

Bagi kes berkaitan dadah, bilangan penagih yang ditangkap oleh Agensi Antidadah Kebangsaan meningkat 2.8 peratus kepada 24,186 orang berbanding 23,517 orang pada 2022 dengan komposisi penagih dadah mengikut jantina mengekalkan peratusan sama iaitu 95.7 peratus lelaki dan 4.3 peratus perempuan.

Bagi kes rasuah pula, beliau berkata bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan peningkatan 25.1 peratus pada 2023 kepada 1,026 kes berbanding 820 kes sebelumnya.

“Bilangan kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan meningkat tahun lepas kecuali kesalahan memberi rasuah berkurangan 25.3 peratus kepada 59 kes, berbanding 79 kes pada 2022. 

“Jumlah tangkapan dibuat SPRM tahun lepas turut meningkat sebanyak 25.1 peratus kepada 1,137 tangkapan berbanding 909 tangkapan sebelumnya, dan tangkapan bagi semua jenis kesalahan juga meningkat kecuali kesalahan memberi rasuah yang berkurangan 6.5 peratus kepada 86 kes berbanding 92 kes pada 2022,” katanya.

Mohd Uzir berkata kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak meningkat 26.5 peratus kepada 1,567 kes pada 2023, berbanding 1,239 kes pada tahun sebelumnya.

“Kesalahan pornografi kanak-kanak merekodkan peningkatan  tertinggi iaitu 139.3 peratus, diikuti oleh kesalahan pengantunan kanak-kanak (100 peratus) dan amang seksual secara bukan fizikal (97 peratus).

Bagi bilangan saman trafik yang dikeluarkan oleh PDRM, beliau berkata jumlah menunjukkan penurunan 12.3 peratus kepada 4.6 juta saman berbanding 5.3 juta saman pada 2022.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan