WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sektor Semikonduktor Malaysia Mampu Tingkat Landskap Teknologi Asia Tenggara - Pakar Reka Bentuk Ic

16/10/2024 10:19 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Sektor semikonduktor Malaysia berpotensi meningkatkan landskap teknologi Asia Tenggara, demikian kata pakar pemain industri reka bentuk litar bersepadu (IC) Skyechip, Weeroc dan Chipsbank di Konvensyen Ekonomi Digital dan Bandar Pintar Selangor (SDEC) 2024 hari ini.

Dianjurkan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec), hari pertama konvensyen tiga hari itu menampilkan sesi bernas mengenai industri reka bentuk IC Malaysia dan penumpuan kecerdasan buatan (AI) serta semikonduktor yang semakin meningkat.

“Perbincangan utama tertumpu kepada peranan transformatif semikonduktor dalam industri seperti penjagaan kesihatan, mobiliti dan pembuatan, manakala sesi lain meneliti kepentingan pembangunan bakat dalam memupuk jurutera semikonduktor generasi akan datang Malaysia,” kata Sidec dalam satu kenyataan hari ini.

Sidec berkata sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), persidangan 3 dalam 1 tahun ini itu memfokuskan kepada semikonduktor, inovasi AI, dan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), meneroka peranan mereka dalam memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan.

Bertemakan "Membina Malaysia yang Lebih Pintar: Melancarkan Penumpuan AI & Semikonduktor", SDEC 2024 menampilkan lebih 200 peserta pameran dan dijangka menarik lebih 18,000 pelawat.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bersama Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han.

Pada majlis itu, Sidec dan Cyberview Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi menjalin kerjasama strategik dalam industri semikonduktor Malaysia.

“Ia memfokuskan kepada kerjasama dua tahun untuk memajukan pelaburan, ekosistem dan pembangunan industri untuk IC Design Park Fasa 2 di Cyberjaya.

“Para tetamu kenamaan turut menyaksikan pratonton produk dan pelancaran syarikat oleh TEASK, sebuah syarikat dengan visi untuk tenaga yang boleh diakses, bersih dan saling berkaitan,” kata kenyataan itu.

TEASK menawarkan stesen janakuasa modular dan boleh alih, dengan stesen pertama dipasang di Cyberjaya, kerjasama melalui inisiatif Cyberview Living Lab Pilot.

Selain itu, NCT Group juga menjalin kerjasama strategik dengan Sidec untuk memupuk pembangunan perindustrian dan menggalakkan pembinaan komuniti di Taman Perindustrian Pintar NCT, seterusnya menyokong pertumbuhan perniagaan dan peluang pengembangan di peringkat global.

Sidec berkata kerjasama ini adalah sebahagian daripada usaha Malaysia yang lebih meluas untuk menjadi peneraju serantau dalam inovasi semikonduktor, transformasi digital dan pembangunan bandar pintar.

Berikutan kejayaan hari pertama, SDEC 2024 akan terus meneroka inovasi AI generatif pada hari kedua, memfokuskan kepada pembangunan bakat AI global, AI dalam robotik, dan impak transformatif AI generatif merentas pelbagai industri.

Pada hari ketiga akan berlangsung Persidangan Pendigitalan PKS TikTok, yang akan menawarkan pandangan dan strategi untuk PKS memanfaatkan platform digital dan penyelesaian e-dagang yang inovatif untuk memacu pertumbuhan dan kejayaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan