WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BIMP-EAGA Perlu Terus Perkukuh Kerjasama Tangani Jurang Pembangunan

16/10/2024 09:18 PM

KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) perlu terus memperkukuh kerjasama menangani jurang pembangunan, kata Timbalan Ketua Menteri II Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata BIMP-EAGA ditubuhkan untuk mempercepat pembangunan sosio-ekonomi kawasan kurang membangun, terpinggir dan terpencil dari segi geografi di empat negara anggota, sebagai sebahagian usaha menyeluruh untuk merapatkan jurang pembangunan.

“Strategi utama BIMP-EAGA adalah menggerakkan dan menarik pelaburan sektor swasta untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dalam subrantau ini.

“Dalam konteks ini, kerajaan di peringkat negara, negeri, wilayah dan tempatan mempunyai peranan penting untuk dilaksanakan kerana bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran kondusif melalui penetapan dasar, peraturan dan infrastruktur yang sesuai,” katanya semasa mempengerusikan Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan (CMLGF) BIMP-EAGA keenam di sini, pada Rabu.

Beliau berkata CMGLF berfungsi sebagai platform utama yang mewakili kepentingan, aspirasi dan keutamaan pembangunan negeri, wilayah dan kerajaan tempatan.

Joachim berkata forum itu menggalakkan aktiviti perdagangan, pelancongan, pelaburan dan lain-lain aktiviti rentas sempadan dalam subrantau itu.

“Saya amat berharap forum ini akan mencapai kejayaan besar dalam memupuk perbincangan yang bernas, memajukan idea inovatif dan merangsang persekitaran kolaboratif yang menyatukan pelbagai perspektif daripada subwilayah kita.

“Secara kolektif, kita boleh mengubah platform ini menjadi hab inspirasi, pemerkasaan dan tindakan ke arah pembangunan yang bermanfaat untuk semua, akhirnya meningkatkan kualiti hidup rakyat di subrantau ini, terutama di kawasan pedalamaman di empat negara kita,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan