WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAVCOM Jangka Catat 97.6 Juta Trafik Penumpang Pada 2024

16/10/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) --Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dijangka memenuhi unjuran trafik penumpang iaitu antara 95.4 juta dan 97.6 juta penumpang tahun ini disokong oleh pemulihan kukuh sektor penerbangan Malaysia yang berterusan dalam tempoh enam bulan pertama 2024.

Julat unjuran trafik penumpang sebelum adalah 93.9 juta dan 107.1 juta penumpang.

Menurut laporan dwi-tahunan Waypoint ke-15 dikeluarkan oleh MAVCOM, jumlah trafik penumpang udara Malaysia mencecah 46.6 juta, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 15.3 peratus pada separuh pertama 2024 didorong oleh trafik penumpang udara antarabangsa.

Dalam tempoh tersebut, trafik penumpang udara antarabangsa meningkat sebanyak 35.9 peratus tahun ke tahun kepada 24.0 juta penumpang manakala trafik domestik turun sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun kepada 22.6 juta penumpang.

Pengerusi Eksekutif WAYCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata pertumbuhan dalam sektor penerbangan Malaysia pada separuh pertama 2024 terutamanya peningkatan 35.9 peratus tahun ke tahun dalam trafik penumpang udara antarabangsa, menunjukkan kekukuhan sektor itu.

“Inisiatif pelancongan strategik seperti perjalanan tanpa visa untuk pelawat dari India dan China akan terus meningkatkan trafik udara dan pelancongan antarabangsa.

“Sektor itu telah mencapai 72.3 juta penumpang menjelang September 2024, satu pencapaian penting menunjukkan keberkesanan usaha memulihkan laluan antarabangsa dan melonjakkan permintaan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata menghampiri separuh kedua tahun ini, MAVCOM akan terus bekerjasama rapat dengan penggiat industri untuk meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan utama dalam ASEAN.

“Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap faktor luaran termasuk harga bahan api yang turun naik dan cabaran rantaian bekalan global, ia boleh memberi kesan kepada pemulihan berterusan industri. Di sebalik cabaran ini, kami yakin dengan keupayaan sektor itu untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya,” katanya.

Sektor kargo udara juga telah menunjukkan pertumbuhan yang ketara dengan volum kargo diukur dalam kilometer tan kargo (FTK) naik sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun kepada 5.2 bilion FTK pada suku kedua 2024.

Oleh itu, MAVCOM telah menyemak unjuran trafik kargo udaranya untuk 2024 dan beberapa tahun akan datang, kini ia mengunjurkan pertumbuhan antara 10.0 peratus dan 12.5 peratus tahun ke tahun, diterjemahkan kepada antara 20.8 bilion dan 21.2 bilion FTK.

Laporan itu juga menekankan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkatkan kedudukan ketersambungan udaranya di ASEAN daripada tempat keempat pada 2022 kepada tempat ketiga pada separuh ertama 2024 dengan skor ketersambungannya meningkat daripada 47.5 pada 2022 kepada 64.7 pada separuh pertama 2024.

“Malaysia juga mengekalkan kedudukannya sebagai negara kelima ketersambungan tinggi di ASEAN dengan skor ketersambungan keseluruhan 84.0 pada separuh pertama 2024. Kedudukan ini menekankan pemulihan berterusan sektor penerbangan khususnya dalam segmen antarabangsa,” katanya.

Pada separuh pertama 2024, MAVCOM memberikan sejumlah 156 Hak Trafik Udara (ATR) tambahan dengan 20 diperuntukkan untuk laluan domestik dan 136 untuk destinasi antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai laporan Waypoint, lawati tapak web MAVCOM di http://www.mavcom.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan