WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Suami Isteri Mengaku Tidak Bersalah Kemuka Dokumen Palsu Kepada SESB

17/10/2024 05:40 PM

TAWAU, 17 Okt (Bernama) -- Bekas ketua pegawai eksekutif dan bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat perdagangan petroleum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan berkaitan dokumen palsu melibatkan nilai lebih RM600,000, 11 tahun lepas.

Junaidi Abdul Rahman, 63, dan Albina Ogor Abdullah, 50, yang juga pasangan suami isteri, masing-masing membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Junaidi didakwa dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu delivery ticket Petron Oil (M) Sdn Bhd untuk membuat tuntutan dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi pembayaran 260,000 liter diesel dengan nilai keseluruhan RM655,512 kepada syarikat perdagangan petroleum terbabit.

Sementara Albina dituduh bersubahat bersama Junaidi bagi 15 pertuduhan berkenaan dan kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Janakuasa Tawau, Jalan Kuhara di sini antara 8 April hingga 11 April 2013.

Junaidi didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 manakala Albina didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama.

Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifee manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Jason menetapkan wang jaminan masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan dan tarikh sebutan semula kes pada 3 Dis ini di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Mahkamah juga memerintahkan suami isteri itu tidak mengganggu saksi pendakwaan serta dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan