WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dewan Rakyat Lulus Pindaan Perlembagaan Persekutuan Berhubung Kewarganegaraan

17/10/2024 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini melakar sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga.

Rang undang-undang itu mendapat sokongan 206 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan ketiga  ketika undi belah bahagian. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata seorang Ahli Parlimen tidak menyokong rang undang-undang itu manakala 14 tidak hadir dan seorang wakil rakyat tidak mengundi kerana masih dalam penggantungan. 

Beliau memaklumkan undian belah bahagian dijalankan berikutan peruntukan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pindaan kepada Perlembagaan pada bacaan kedua dan ketiga memerlukan undi tidak kurang dua pertiga daripada jumlah bilangan Ahli Parlimen. 

Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.

Pindaan itu bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menggulung perbahasan RUU itu memberikan jaminan bahawa kementerian akan membuat keputusan terhadap semua kes tertunggak permohonan mendapatkan kewarganegaraan iaitu sama ada menerima atau menolak dalam tempoh 12 bulan, bermula hari ini.

Beliau berkata perkara itu bagi memastikan tiada baki kes permohonan tertunggak dalam tempoh yang panjang. 

"Hari ini 17 Okt, komitmen KDN dari sekarang hingga 17 Okt tahun depan, kita akan selesaikan semua permohonan ini (tertunggak) sebagai menandakan bahawa kita akan buka kitab baharu, menerima permohonan baharu,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas dan teratur bagi permohonan kewarganegaraan telah siap dibangunkan KDN dan diberikan kelulusan oleh Jemaah Menteri. 

Beliau berkata SOP itu akan memperincikan perkara-perkara termasuk prosedur permohonan dan dokumen yang perlu dikemukakan individu yang mahu memohon kewarganegaraan.

Seramai 70 Ahli Parlimen mengambil bahagian pada sesi perbahasan RUU berkenaan yang berlangsung dua hari bermula semalam.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung bagi pembentangan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 4 petang, esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan