WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025: Malaysia Terus Beri Tumpuan Serius Pembangunan AI

20/10/2024 09:13 AM

Oleh Nazira Hasanah Nasaruddin

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Malaysia terus memberi tumpuan serius kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, Jumaat lepas. 

Menerusi Belanjawan 2025 bertemakan “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat” itu beberapa universiti penyelidikan termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) diberikan peranan dalam memperkasakan bidang itu dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata pemilihan universiti itu untuk menerajui antaranya AI alih bahasa dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, satu tanggungjawab yang harus disempurnakan sebaiknya.

“Melalui Ikhtiar 40 di bawah AI, UKM akan menerajui tekno interaktif AI dalam pembangunan alih bahasa Melayu yang lebih tepat dan menyeluruh. Inisiatif ini bertujuan untuk membangunkan aplikasi Model Bahasa Melayu Nasional (LLM-BM) khusus bagi sektor awam di Malaysia.

“Hal ini bagi memenuhi keperluan nasional serta menyokong peningkatan penggunaan teknologi bahasa berasaskan AI dalam perkhidmatan awam. Walaupun LLM (Model Bahasa Besar) sedia ada telah banyak membantu dalam pemprosesan bahasa semula jadi (NLP), terdapat kelemahan ketara dalam penerapannya untuk bahasa Melayu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pembangunan LLM-BM akan berpusat di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM sebagai hab pembangunan kolaborasi manakala Pusat Pengajian Bahasa Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan untuk semakan pakar bahasa, selain turut berkerjasama dengan Fakulti Al Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai pusat penyelarasan projek.

Sementara itu, Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohamad Sadullah menyifatkan penubuhan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit, adalah satu pengiktirafan buat universiti itu.

“UPM akan menggembleng tenaga dalam bidang AI, pengkomputeran kuantum dan kriptografi serta lain-lain kepakaran berkaitan daripada pelbagai fakulti dan institut penyelidikan untuk memastikan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia ini dapat dimulakan dan terus berkembang bagi membantu negara mendepani cabaran siber sekuriti.

“UPM juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), NACSA dan Kementerian Digital yang telah mengiktiraf sumbangan universiti ini serta rakan industri yang terus menjadi testimoni keupayaan UPM dalam bidang ini,” katanya.

Anwar menerusi Belanjawan 2025 berkata kerajaan akan terus menyuburkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta dengan dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) ditingkatkan kepada RM600 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Selain itu, Kumpulan Wang Amanah Malaysia Science Endowment (MSE) turut disediakan dana RM170 juta yang akan dimanfaatkan bagi menyediakan geran padanan untuk badan swasta dan industri memacu program R&D.

Program Malaysia Techlympics dengan peruntukan RM10 juta juga terus diperhebat sebagai dorongan melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang robotik dan teknologi AI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan