WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KFC Peruntuk RM2.1 Juta Biasiswa taja 40 Pelajar B40

20/10/2024 11:39 AM

CYBERJAYA, 20 Okt (Bernama) -- QSR Brands (M) Holdings Bhd dan KFC Malaysia baru-baru ini mengumumkan pemberian Biasiswa KFC buat pertama kalinya kepada 40 pelajar universiti tempatan, bagi membantu mereka mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

Biasiswa KFC berjumlah RM2.1 juta itu bakal memberikan sokongan kewangan menyeluruh termasuk yuran pengajian penuh di universiti awam, elaun bulanan dan baucar KFC kepada kesemua pelajar berkenaan yang terdiri daripada golongan B40.

Majlis penganugerahan biasiswa tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Turut hadir ialah Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna, dan Ketua KFC Malaysia Loi Liang Tok.

Dalam ucapannya, Nik Nazmi berkata kekangan kewangan sering menjadi halangan kepada pendidikan, dan inisiatif Biasiswa KFC ini adalah langkah yang amat membanggakan kerana ia mampu mengubah masa depan pelajar yang memerlukan.

“Saya ingin memuji KFC Malaysia dan QSR Brands atas kepimpinan mereka dalam mencipta peluang untuk bakat-bakat muda. Inisiatif ini mencerminkan komitmen syarikat untuk menyokong pendidikan dan membentuk pemimpin masa depan,” katanya.

Sementara itu, Nehchal berkata biasiswa ini mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan negara melalui pelaburan dalam generasi muda, sekali gus melatih mereka untuk menjadi pemimpin di masa hadapan.

“Penerima program Biasiswa KFC Malaysia yang pertama ini mewakili kumpulan pelajar muda yang cemerlang dari seluruh 13 negeri, dan keterangkuman geografi ini membantu merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar, menyumbang kepada Malaysia yang lebih adil dan bersatu,” katanya.

Seorang penerima biasiswa, Haajaratul Nabila Rosman, 21, pelajar Teknologi Maklumat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berharap biasiswa ini dapat meringankan beban keluarganya dalam menampung kos pengajiannya dalam bidang analisis data.

Anak keenam daripada lapan beradik ini juga berkata biasiswa tersebut membolehkan beliau menyertai program-program luar yang berkaitan analisis data, yang biasanya melibatkan kos tambahan.

Wong Wei Lik, 19, pelajar pergigian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), meluahkan rasa syukur kerana terpilih sebagai penerima Biasiswa KFC. Dengan latar belakang keluarga yang terpisah dan hanya bergantung kepada pendapatan ibunya sebagai penoreh getah sebanyak RM900 sebulan, Wong mengakui biasiswa ini amat penting untuk membantu kos pengajiannya.

“Saya mohon pelbagai biasiswa tapi hanya KFC Malaysia yang memberikan maklum balas kerana bidang pergigian ini boleh dikatakan kosnya agak tinggi dan bukan semua syarikat akan memberikan tajaan. Agak terkejut bila dapat dan fikir tidak perlu bergantung kepada ahli keluarga lain dan tidak mahu membebankan mereka lagi,” katanya.

Seorang lagi penerima biasiswa, Narmadha Devi Balamurugan, 19, dari Klang, turut bersyukur kerana selain sokongan kewangan, Biasiswa KFC juga menyediakan platform untuk melatih penerima menjadi pemimpin masa depan.

“Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang saintis data, dan saya perlu melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah. Biasiswa ini sangat membantu dalam menampung pengajian saya ketika ini,” kata pelajar Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Matematik) di UKM itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan