WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Enam Kambing Mati Dipercayai Dibaham Harimau Kumbang Di Alor Gajah

20/10/2024 05:05 PM

ALOR GAJAH, 20 Okt (Bernama) -- Enam ekor kambing milik seorang penternak mati selepas dipercayai dibaham seekor harimau kumbang di sebuah kebun di Bukit Tampoi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima laporan daripada penternak itu pada 2.15 petang semalam, sebagai rujukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Ketika pengadu Ab Razak Ab Rahim, 34, berada di kebunnya, dia mendapati enam daripada 13 ekor kambing yang diternak sejak 2022 mati, disyaki diserang haiwan liar.

“Ini kali pertama berlaku dan pengadu mengesyaki ia disebabkan oleh serangan harimau kumbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka Petra Sulai berkata pihaknya telah melakukan siasatan awal di lokasi kejadian pada 9 pagi tadi, namun tidak menemukan sebarang kesan tapak kaki haiwan liar itu.

“Bangkai kambing pula telah dilupus manakala baki haiwan ternakan milik pengadu itu juga dipindahkan ke kampung lain.

“Siasatan Perhilitan mendapati tiada hutan simpan berhampiran kampung berkenaan, justeru kita akan memasang kamera bagi mengenal pasti spesies yang terlibat dan akan memasang perangkap harimau di lokasi kejadian esok,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan