WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bekalan Air 60,000 Akaun Pengguna Sains Terjejas Akibat Paip Pecah

20/10/2024 07:54 PM

SEREMBAN, 20 Okt (Bernama) -- Hampir 60,000 akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air akibat kerja pembaikan susulan paip pecah di hadapan stesen Petronas Jalan Jelebu di sini yang berlaku sejak semalam.

Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya kini sedang giat melaksanakan kerja pembaikan berikutan insiden luar jangka itu.

"Ketika ini, kerja pengeluaran baki air dalam paip, kerja mengorek dan pemasangan sheet pile siap sepenuhnya manakala kerja pembaikan kerosakan mencapai 80 peratus.

"Bagi mengurangkan kesan gangguan kepada pelanggan kawasan yang terlibat, SAINS menghantar bekalan air melalui lori tangki ke kawasan terjejas selain meletakkan tangki statik," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

SAINS memberitahu pelanggan boleh merujuk Facebook Pusat Khidmat Pelanggan SAINS untuk maklumat terkini yang dikemas kini dari semasa ke semasa serta menghubungi talian bebas tol 1-300-88-6982 atau melalui e-mel aduan@sainswater.com untuk sebarang bantuan.

Semalam, SAINS memaklumkan berlaku gangguan bekalan air berikutan kerja kecemasan pembaikan paip pecah bersaiz 1,200 milimeter (mm) dan 200 mm di hadapan stesen Petronas Jalan Jelebu.

SAINS menjelaskan antara kawasan yang mengalami gangguan bekalan air adalah di seluruh kawasan Seremban 2, S2 Height, Taman Rasah Kemayan, Taman Bukit Kepayang, Taman  Mantau Indah 1, Taman Mantau Indah 2, Taman Mantau Indah 3, Jalan Labu Batu 1-9, Jalan Sungai  Ujong, Jalan Labu Lama dan Taman Permai Kemayan Square, Bandar Seremban, Templer dan Lobak.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan