WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Alu-alukan Syarikat China Mahu Disenarai Di Bursa Malaysia - Pengarah Eksekutif SC

20/10/2024 07:54 PM

Daripada Zarul Effendi Razali

HAINAN (China), 20 Okt (Bernama) -- Malaysia kekal bersikap terbuka dan mengalu-alukan syarikat China yang berhasrat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia sama ada bagi penyenaraian pertama atau kedua, seiring dengan matlamat bersama kedua-dua negara untuk memupuk inovasi dan menggalakkan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi.

Pengarah Eksekutif Kewangan dan Pelaburan Korporat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Zain Azhari Mazlan berkata penyenaraian itu akan melengkapkan Bursa Malaysia dengan pelbagai kategori saham dan meluaskan peluang pelaburan yang tersedia kepada pelabur.

“Malaysia menyaksikan kemasukan banyak syarikat beribu pejabat di China yang menyasarkan penyenaraian utama melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia kira-kira 15 tahun lepas dari 2009 hingga 2013.

“Bagaimanapun, sebahagian daripada syarikat ini telah dinyah senarai atau mengalami pengambilalihan, sebahagian besarnya disebabkan oleh isu tadbir urus korporat, prestasi kewangan dan pematuhan terhadap keperluan audit dan penyenaraian,” katanya kepada Bernama di luar Forum Pelaburan Dua Hala CGS Asia Tenggara (SEA) di sini.

Beliau yang juga antara penceramah pada sesi meja bulat forum berkenaan, bagaimanapun berkata pengalaman sedemikian telah memberikan pengalaman bermakna kepada pasaran dan pengawal selia, justeru mendorong usaha berterusan untuk memperkukuh keperluan penyenaraian dan perlindungan pelabur.

Zain berkata syarikat China yang menyasarkan penyenaraian di bursa dengan kebanyakannya terlibat dalam sektor produk pengguna biasa, sebahagian besarnya adalah entiti peringkat ketiga atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi dalam rantaian nilai industri rendah.

“Landskap ini telah berubah dengan ketara ke arah sektor baharu untuk pembangunan ekonomi seperti peningkatan dalam transformasi digital dan tumpuan kepada inovasi dan kemampanan,” katanya.

Menurutnya Malaysia telah bertapak sebagai destinasi utama bagi penubuhan pusat data baharu dan hab semikonduktor yang menarik, dipacu oleh dasar kerajaan yang menggalakkan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang bertujuan menguatkan lagi sektor itu.

“Kami melihat peningkatan semula minat daripada syarikat China dalam sektor ekonomi baharu, terutama syarikat yang mempunyai operasi sedia ada berpangkalan di Malaysia atau berhasrat untuk berkembang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata syarikat China dalam kategori ekonomi baharu ini terutama dalam sektor teknologi dan pengkomputeran awan menawarkan beberapa manfaat kepada pasaran Malaysia dengan menyediakan peluang pelaburan serta pemindahan teknologi dan pengetahuan.

Selain itu, syarikat berkenaan menawarkan peluang pekerjaan serta merangsang inovasi yang berupaya mendorong kepada pertumbuhan ekonomi, kemajuan dan meningkatkan daya saing di rantau ini, katanya.

Beliau berkata pada masa ini beberapa syarikat China dalam bidang dan sektor berkenaan telah menunjukkan minat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata syarikat China perlu mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi bersesuaian untuk menubuhkan ibu pejabat serantau supaya boleh berkembang di peringkat antarabangsa.

Menerusi rakaman awal ucap tama beliau di forum itu pada 16 Oktober, beliau berkata kekuatan Malaysia terletak pada tenaga kerja pelbagai bahasa yang mahir dan berpendidikan, rangka kerja undang-undang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, rangkaian logistik yang komprehensif dan masyarakat yang teguh.

Liew berharap peningkatan komunikasi antara kedua-dua negara akan dapat mewujudkan kerjasama yang lebih mendalam dan erat antara Malaysia dan China.

Forum Pelaburan Dua Hala CGS SEA 2024 yang diadakan pada 16-17 Okt 2024 menghimpunkan kira-kira 300 penggubal dasar, pakar industri dan pemimpin perniagaan terkemuka untuk meneroka trend makroekonomi baharu dan peluang pelaburan dua hala antara China dan Asia Tenggara.

Forum itu turut meninjau sektor pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, tenaga baharu, penjagaan kesihatan, ekuiti persendirian, hospitaliti dan ekonomi digital, dengan menampilkan kalangan pakar dari China dan Asia Tenggara selaku ahli panel.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan