WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Situasi Di Laut China Selatan Selamat Dan Terkawal - Adly

21/10/2024 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Situasi keselamatan perairan negara di Laut China Selatan adalah selamat dan terkawal, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata berdasarkan penilaian ancaman yang dilaksanakan oleh agensi berkaitan, kawasan perairan itu kekal bebas dan terbuka untuk komuniti maritim.

Beliau menjelaskan laporan berhubung kehadiran aset maritim China di sempadan maritim negara adalah lebih kepada pasukan pengawal pantai republik itu dan bukannya kapal perang tenteranya.

“Walaupun kehadiran kapal China di perairan negara mencetuskan polemik, namun sehingga hari ini mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti dilakukan kepada negara lain.

“Kementerian Pertahanan bagaimanapun kekal komited melaksanakan amanah untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan aset pertahanan negara berada pada tahap optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman di perairan maritim negara, terutama di Laut China Selatan,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai sejauh manakah keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan terjamin, berikutan pencerobohan kapal tentera dan pasukan pengawal pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di wilayah maritim Sarawak.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin sama ada Malaysia akan membangkitan isu berkenaan pada Persidangan ASEAN tahun depan, Adly berkata negara akan memanfaatkan peranannya sebagai pengerusi ASEAN 2025 untuk menyelesaikan isu berbangkit, termasuk isu di Laut China Selatan.

Beliau berkata operasi menunjukkan kehadiran pihak keselamatan negara juga ditingkatkan di kawasan sempadan perairan negara selain memperkukuhkan diplomasi pertahanan negara dengan China.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai kegusaran awam terhadap kapal tentera China yang berlabuh (port of call) di negara ini, Adly menjelaskan setiap permohonan kapal tentera asing diteliti dengan amat rapi.

“Kita sentiasa berkerjasama dengan Wisma Putra (Kementerian Luar) untuk memastikan setiap kapal tentera asing yang berlabuh di Malaysia adalah dengan tujuan dan matlamat itu mempunyai kebaikan bersama.

“Sebab itu isu kapal tentera asing berlabuh misalnya di Pulau Pinang baru-baru ini dan di mana-mana negeri ada juga di Sabah, di Port Klang, ada kapal dari US (Amerika Syarikat), Rusia dan Jerman… tidak harus dijadikan polemik selagi ia dalam kawalan dan undang-undang negara kita,” katanya.

Mengulas mengenai laporan kapal pasukan pengawal pantai China berlabuh di Beting Patinggi Ali di perairan EEZ di Miri, Sarawak, Adly mengakui perkara itu adalah cabaran buat Kementerian Pertahanan dan tidak mahu dilihat sebagai pihak yang offensive.

“Justeru, kita bersama pihak APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) akan berkomunikasi dengan mereka. Begitu juga dengan nota bantahan diplomasi, kita sentiasa menghantar nota itu kepada Wisma Putra.

“Malaysia mahu Laut China Selatan adalah laut yang selamat… keselamatan dan kedaulatan negara di situ menjadi keutamaan kita. Malaysia menggunakan prinsip diplomasi pertahanan untuk memastikan aktiviti ekonomi, cari gali minyak, nelayan dan perdagangan secara aman,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan