WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Akta Pembaharuan Semula Bandar Pastikan Hak, Kepentingan Pemilik Hartanah Dilindungi

21/10/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) mampu memastikan pembangunan yang dilaksanakan adalah lebih terancang dan inklusif dengan prinsip leave no one behind, termasuk dalam melindungi hak pemilik hartanah yang terkesan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata daripada aspek perlindungan hak pemilik hartanah yang terlibat dengan pelaksanaan projek PSB, kerajaan akan berunding dengan pemilik bersama-sama dengan badan pelaksana dan pemaju yang dilantik.

“Proses rundingan akan diadakan sehingga semua pihak bersetuju dengan syarat-syarat dan kehendak pemilik terlibat.

“Selain itu, penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan Jawatankuasa Eksekutif Negeri, dicadangkan untuk melaksanakan peranan memastikan pemaju yang layak mempunyai kompetensi dan prospek pelaksanaan PSB dan turut bertanggungjawab dalam melindungi kepentingan pemilik sekiranya berlaku masalah sepanjang proses PSB,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang ingin tahu sejauh manakah kajian dan analisis kos-manfaat dijalankan berhubung penggubalan akta itu dan perancangan kementerian untuk melindungi hak pemilik rumah yang terkesan, mengambil kira risiko kepada pemilik hartanah terutama mereka yang menghuni di kawasan bandar.

Nga berkata bagi memperkukuh perlindungan ke atas hak dan kepentingan pemilik hartanah, satu Jawatankuasa Mediasi boleh ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan projek PSB.

Beliau berkata dalam penyediaan kerangka perundangan yang kukuh, kementerian melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti  Malaysia (MPC) telah melaksanakan Analisis Impak Peraturan (RIA) dan menyediakan laporan Penyata Impak Peraturan (RIS).

Nga berkata berdasarkan kepada RIA, penggubalan akta itu berpaksikan kepada 10 prinsip pembaharuan semula bandar antaranya persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal, perlindungan kepentingan pemilik tanah dan kos caj penyenggaraan, penempatan sementara yang kondusif dan penilaian kriteria tapak pembaharuan semula bandar.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membentangkan Memorandum Jemaah Menteri Dasar kepada Jemaah Menteri, bagi cadangan penggubalan Rang Undang-Undang PSB pada 14 Ogos 2024, selain pembentangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi di Parlimen pada 17 Okt, khusus untuk mendapatkan pandangan dan sokongan Ahli-Ahli Parlimen.

“Sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga akan diadakan pada bulan November agar keperluan khusus mereka turut diberi perhatian, mengambil kira keunikan kawasan dan geografi,” katanya.

Dalam pada itu, Nga berkata KPKT telah mengadakan 52 sesi focused group discussion dan libat urus melibatkan pelbagai agensi persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Peguam Negara, institusi pengajian tinggi awam, penggiat industri, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan lain, bagi memastikan pelaksanaan undang-undang yang menyeluruh.

Menjawab soalan tambahan Ismail mengenai langkah kerajaan dalam memastikan supaya hak dan kepentingan pemilik hartanah tidak terjejas, Nga berkata bagi pemilik strata yang bersetuju menyertai pembaharuan semula bandar mereka akan diberi dua cadangan, iaitu kaedah penyertaan secara rundingan menerusi one-to-one basis dengan pemilik asal diberikan rumah baharu atau lebih mengikut perjanjian setimpal.

“Kedua, kalau dia hendak jual juga dibenarkan untuk melepaskan hak milik dapat keuntungan untuk diri beliau dan dia diberi kebebasan beli hartanah impian mereka untuk memastikan perlindungan kepada hak milik, jawatankuasa mediasi akan ditubuhkan sekiranya terdapat isu timbul sepanjang proses pembangunan semula bandar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan