WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelepasan Cukai Lebih Tinggi Dalam Belanjawan 2025 Mudahkan Rakyat Dapat Perlindungan Asas

21/10/2024 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Keputusan kerajaan menaikkan pelepasan cukai pendapatan individu untuk premium insurans pendidikan dan perubatan kepada RM4,000, bersama-sama dengan meningkatkan pengecualian perbelanjaan perubatan kepada RM10,000, akan mengurangkan halangan kewangan kepada ramai rakyat Malaysia yang mencari perlindungan asas.

“Ini bukan sahaja akan memupuk budaya untuk sentiasa bersiap sedia tetapi juga memperkasakan individu untuk mengutamakan kesihatan dan kestabilan kewangan mereka,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif insureKU Shadhana Sekara dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pengumuman pada belanjawan baru-baru ini berfungsi sebagai peristiwa penting dalam usaha kolektif untuk meningkatkan keselamatan kewangan dan akses kepada semua rakyat.

Selain itu, Shadhana berkata Program Baucar Perlindungan Tenang yang diteruskan bagi memanfaatkan sehingga dua juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), menggariskan pendekatan proaktif kerajaan terhadap kebajikan sosial.

Dengan menyediakan baucar RM30 untuk membantu individu membeli produk-produk insurans, kerajaan menunjukkan tanggungjawabnya terhadap keperluan rakyat Malaysia yang pelbagai.

Shadhana berkata bagi syarikat teknologi insurans seperti insureKU, ia memberi peluang untuk menyediakan penyelesaian insurans inovatif kepada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, memastikan perlindungan kritikal boleh diakses dan disesuaikan bagi menangani risiko tertentu.

Sebagai tambahan kepada langkah-langkah ini, garis panduan duti setem yang baru diperkenalkan untuk memudahkan pemberian perlindungan insurans dan takaful akan meningkatkan kebolehcapaian produk itu dengan ketara.

“Dengan mengurangkan kos yang berkaitan terhadap pemberian polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga sebagai hadiah, kerajaan kini menggalakkan keluarga melindungi orang yang tersayang.

“Duti setem progresif antara RM10 hingga RM1,000 berdasarkan nilai pindahan, merupakan pendekatan bernas untuk memupuk budaya keselamatan kewangan dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.

Shadhana menambah dengan menambah baik akses kepada insurans dan menggalakkan budaya kesediaan, langkah yang digariskan dalam belanjawan ini berpotensi meningkatkan kadar perlindungan dengan ketara, memberikan keselamatan yang lebih besar untuk semua rakyat Malaysia.

Dilancarkan pada April, insureKU ialah platform digital pertama di Malaysia yang menyepadukan penyelesaian insurans dan takaful dari awal hingga akhir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan