WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025 Inklusif, Tiada Yang Terpinggir - Saraswathy

21/10/2024 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lepas adalah belanjawan inklusif untuk seluruh rakyat Malaysia, bukan terhad kepada mana-mana kaum atau komuniti.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata rakyat perlu melihat belanjawan itu sebagai inisiatif untuk keseluruhan masyarakat, dengan perhatian khusus kepada aspek tertentu termasuk meningkatkan mutu pendidikan dan pemahaman dalam bahasa ibunda bagi setiap lapisan masyarakat. 

“(Sebagai contoh) peruntukan untuk pendidikan, Perdana Menteri sebelum ini telah memberi penekanan bahawa mutu pengajaran di peringkat sekolah rendah, termasuk sekolah Tamil dan juga sekolah Cina harus dipertingkatkan.

“Jadi bukan sahaja mutu pendidikan, pemahaman mereka dalam bahasa ibunda contohnya di sekolah Tamil, (jumlah) guru bahasa Tamil harus dipertingkatkan. Rakyat harus pandang ini sebagai satu belanjawan untuk rakyat dan bukan secara perkauman,” katanya kepada Bernama. 

Saraswathy berkata Kerajaan MADANI juga memperuntukkan RM100 juta bagi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) yang disifatkan sebagai tanggungjawab kerajaan yang berterusan dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat ketiga terbesar di negara ini.

Beliau berkata belanjawan itu turut mencerminkan pendekatan berhati-hati kerajaan dalam menguruskan kewangan negara, dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara yang mencabar memandangkan hutang negara hampir mencecah RM1.5 trilion.

Hal itu katanya dapat dilihat menerusi komitmen Anwar yang berhasrat untuk mengurangkan pinjaman tahunan secara berperingkat, daripada RM100 bilion pada 2021 hingga 2022 kepada RM80 bilion pada 2025.

“Perdana Menteri juga telah menekankan bahawa tiada projek mega (dalam belanjawan ini). Kerajaan akan memberi keutamaan kepada tiga aspek iaitu pendidikan, kesihatan dan keselamatan. Lebih kurang 42.3 peratus daripada RM420 bilion yang diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 adalah untuk tiga bidang ini,” katanya. 

Saraswathy berkata kerajaan komited dalam meningkatkan mutu pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sebagai langkah penting untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi individu.

Beliau berkata aspek kesihatan juga diberikan perhatian serius terutama dalam menghadapi isu obesiti dan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat serta perubahan demografi ke arah negara menua selain keperluan memperkukuh aspek pertahanan disebabkan oleh kedudukan global yang semakin kompleks dan mencabar.

Sarawathy berkata tumpuan ini penting untuk memastikan pembangunan yang mampan dan kesejahteraan rakyat. 

Mengenai peruntukan Kementerian Perpaduan Negara, beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding tahun lepas dan peruntukan berkenaan turut merangkumi inisiatif pendigitalan untuk agensi-agensi di bawah kementerian termasuk Arkib Negara, Perpustakaan Negara Malaysia dan Muzium Negara.

"Kita berharap daripada peruntukan yang kita ada, kita akan memanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya kita dapat menunjukkan satu hasil yang positif,” katanya. 

Menerusi Belanjawan 2025, kementerian itu diperuntukkan RM711.34 juta merangkumi RM587.35 juta perbelanjaan mengurus dan RM123.99 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

Anwar turut mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian dalam memupuk semangat perpaduan serta jati diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan