WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengarah SRC Bebas Letak Jawatan Jika Tidak Setuju Dengan Keputusan Syarikat - Najib

21/10/2024 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa lembaga pengarah (BOD) SRC International Sdn Bhd bebas meletakkan jawatan jika mereka tidak bersetuju dengan keputusan syarikat itu atau berpandangan bahawa arahan kerajaan mempengaruhi hala tujunya.

Najib, 71, berkata sebagai contoh, bekas Pengerusi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Tan Sri Mohd Bakke Salleh telah mengambil keputusan untuk berundur pada Oktober 2009 atas alasan itu.

"Sesiapa yang tidak bersetuju dengan syarikat boleh meletakkan jawatan atau bertemu dengan saya dan memaklumkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan. Terdapat asas bagi perkara itu terus dibincang dan diputuskan.

"Saya sebagai Perdana Menteri tidak akan melakukan apa-apa yang bertentangan dengan kepentingan syarikat kerana saya telah mengangkat sumpah di bawah Perlembagaan akan melindunginya," kata beliau ketika menjawab soalan peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, yang mewakili responden pihak ketiga dan bekas Pengarah SRC Datuk Suboh Md Yassin.

Gurdial menyoal Najib mengenai pemindahan wang RM2 bilion daripada SRC dan jangkaan beliau mengenai cara pengarah terbabit perlu bertindak terhadap arahan itu yang dikatakan telah diberikan lampu hijau oleh bekas Perdana Menteri tersebut sebagai pemegang saham tunggal syarikat berkenaan. 

Najib juga berkata BOD mematuhi arahan strategik beliau kepada syarikat itu namun cara ia dilaksanakan telah memudaratkan kepentingan SRC.

Beliau berkata keputusan BOD untuk mematuhi arahannya adalah munasabah namun cara mnereka melaksanakannya perlu mematuhi undang-undang dan demi kepentingan terbaik SRC.

"Meskipun mengejar matlamat nasional, mereka masih dikehendaki mematuhi piawaian undang-undang dan Memorandum dan Artikel Syarikat (M&A)," katanya.

Najib turut menjawab salah faham dibangkitkan oleh Gurdial yang membayangkan bahawa beliau adalah "bapa" SRC.

Najib: Saya terpaksa betulkan persepsi anda. Jika anda kata SRC adalah bayi saya, sudah pasti saya bukan bapanya.

Gurdial: Okey, baiklah. Ini bermakna kami telah tersilap kerana mengkategorikan anda sebagai seorang yang berwawasan dalam perkara ini (penubuhan SRC).

Najib: Berwawasan tidak mengapa tetapi dianggap sebagai bapa SRC? Sudah tentu tidak… kerana kami mempunyai dokumen untuk membuktikan bahawa ia bukan idea saya.

Pada Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain menyeleweng dana tersebut.

Sebelum ini, SRC menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialaminya akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 juta bagi kerugian itu. 

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung Khamis ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan