WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengumpulan Minyak Masak Terpakai Boleh Jana Pendapatan, Bantu Komuniti

22/10/2024 11:54 AM

SEREMBAN, 22 Okt (Bernama) -- Bermula dengan inisiatif membantu komuniti menjual minyak masak terpakai bagi menambah hasil pendapatan isi rumah sejak beberapa tahun lepas, Mohd Hazim Mohd Mustazar, 33, kini mampu meraih pendapatan bulanan yang mencecah lima angka.

Bekas pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor itu berkata beliau membeli minyak itu pada harga RM2 hingga RM3 sekilogram dari pelbagai pihak untuk dijual kepada peraih, dan dalam sebulan beliau boleh mengumpul sehingga 30 ke 40 tan minyak masak berkenaan.

Pemilik syarikat Infinite Refining Resources yang beroperasi di kawasan Perindustrian Taman Tasik Jaya itu berkata syarikatnya berdaftar dan mempunyai lesen Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

"Minyak masak terpakai itu sebenarnya mempunyai nilai tersendiri dan boleh dikitar semula, saya mula menerokai potensi dan kepentingan bahan itu sejak 2019 untuk dimanfaatkan kepada komuniti," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohd Hazim berkata selain itu minyak masak terpakai juga boleh dijadikan sebagai biodiesel, pengganti bahan api fosil yang lebih mesra alam.

Beliau berkata kebanyakan minyak masak terpakai diperoleh daripada peniaga kedai makan, restoran, gerai jualan makanan, penduduk kampung atau taman, selain program kitar semula yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.

Seorang pengumpul minyak masak terpakai Natrah Mat Kasim, 45, berkata sejak mengetahui minyak masak terpakai ini boleh dijual dan mendatangkan hasil lumayan, dia mula mengumpul minyak masak terpakai untuk dijual.

Natrah berkata selepas mengikuti kempen minyak masak terpakai anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) tamannya, beliau mula mengumpul dan menjual minyak terpakai dan pernah memperoleh RM70 bagi 10kg minyak masak terpakai yang dijualnya.

Sementara itu Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan Cairul Hisham Jalaluddin berkata kempen pengumpulan minyak masak terpakai dilakukan sejak tahun 2022 menerusi penganjuran program 'Trash To Cash' yang dilaksanakan di sekolah, komuniti setempat dan Institut Pengajian Tinggi (IPT). 

Cairul berkata daripada minyak itu dibuang begitu sahaja dan boleh mengakibatkan pencemaran alam, lebih baik ia dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan.

"Sejak Januari hingga September lepas, kutipan minyak masak terpakai berdasarkan data diperoleh pada tahun ini mencecah 13,819 kg.

"Pada peringkat awal data kutipan adalah sifar, namun sejak kami aktif menganjurkan kempen dan program tersebut, ia menunjukkan peningkatan sangat mendadak menerusi kolaborasi dengan peraih berdaftar untuk membeli minyak terpakai ini,” katanya.

Beliau berkata program pengumpulan minyak masak terpakai ini bukan baharu, sebaliknya kesedaran orang ramai mula meningkat memandangkan ia boleh menjana hasil yang agak lumayan.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan